Pemuda Umno mahu Kuan Yew cermin diri sendiri
Pemuda Umno Malaysia mahu Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew "mencermin diri sendiri " sebelum menuduh masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan oleh pemerintah negara ini.
Pemuda Umno Malaysia mahu Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew "mencermin diri sendiri " sebelum menuduh masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan oleh pemerintah negara ini.
Ketuanya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata dari segi pendidikan, Kuan Yew semasa menjadi Perdana Menteri republik itu telah menutup semua sekolah Cina sedangkan kerajaan Malaysia sehingga kini masih membenarkan sekolah berkenaan terus beroperasi.
Beliau berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu juga satu taktik lapuk yang digunakan untuk menakutkan rakyatnya sendiri.
Hishamuddin berkata, sudah menjadi kebiasaan Kuan Yew membuat kritikan serta mencari keburukan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya dan juga Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia mempunyai strategi dan pendekatan sendiri untuk mentadbir rakyat berbilang kaum di negara ini.
"BN lebih berpengalaman dalam mengurus masyarakat pelbagai kaum dan BN sudah lama mempraktikan formula perkongsian kuasa dalam kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas dakwaan Kuan Yew baru-baru ini kononnya Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan kaum Cina masing-masing kerana mereka berjaya dan bekerja kuat dan justeru secara sistematik mereka dipinggirkan.
Menteri Mentor Singapura itu mendakwa orang Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik oleh pemerintah masing-masing.
Hishamuddin yang juga Menteri Pelajaran juga berharap Kuan Yew lebih berhati-hati membuat kenyataan mengenai Malaysia agar tidak menjejas hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
" Singapura sepatutnya bersyukur mendapat jiran yang baik seperti Malaysia,"tambahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berkata beliau akan mengutus surat kepada Kuan Yew bagi meminta penjelasan berhubung kenyataan yang dibuatnya mengenai masyarakat Cina di Malaysia.

