Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua sekolah di Selangor ditutup bermula esok
Diterbitkan:  May 5, 2021 4:21 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Semua sekolah di Selangor akan ditutup lebih awal daripada yang dijadualkan bermula esok.

Menurut surat pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Selangor hari ini, penutupan tersebut akan berterusan sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil maklum keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan negeri Selangor (JKKNS) pada 5 Mei 2021 yang mengesyorkan supaya sekolah ditutup pada 6 Mei hingga 12 Mei 2021.

"Syor JKKNS ini adalah satu usaha untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri Selangor.

"Mengambil kira bahawa sesi persekolahan secara bersemuka hanya berbaki dua hari, maka KPM memutuskan agar semua sekolah bawah KPM di negeri Selangor ditutup pada 6 Mei dan 7 Mei 2021.

"Penutupan ini akan berterusan sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri sepertimana yang diumumkan oleh KPM pada 26 April 2021," kata pekeliling yang ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Izmi Ismail.

Pekeliling berkenaan yang menjadi tular di media sosial, disahkan oleh seorang pegawai di kementerian tersebut.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan cuti sekolah bagi menyambut Aidilfitri tahun ini bermula dari 7 Mei hingga 15 Mei bagi sekolah Kumpulan A dan dari 8 Mei hingga 16 Mei bagi kategori sekolah Kumpulan B.

Sekolah Kumpulan A adalah sekolah yang terletak di negeri di mana hari bekerja bermula pada Ahad hingga Khamis  dan Kumpulan B adalah sekolah di negeri yang mana hari persekolahan bermula pada Isnin hingga Jumaat.

Namun, para pelajar tidak akan kembali semula ke sekolah selepas cuti Aidilfitri.

Ini kerana sesi persekolahan selepas cuti hari raya akan diteruskan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti Aidilfitri.

Selepas tempoh PdPR, pelajar akan meneruskan cuti penggal mereka dari 28 Mei hingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei hingga 13 Jun untuk sekolah kumpulan B.

Untuk rekod, enam daerah di Selangor kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 12 hari mulai esok (6 Mei) hingga 17 Mei berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu.

Lihat Komen
ADS