Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan perketat SOP - 2 orang satu kereta, had 30% di pejabat

Kerajaan Kelantan mula memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa serta- merta membabitkan beberapa perubahan.

Antaranya dengan menghadkan dua penumpang sahaja dalam sebuah kenderaan dan hanya 30 peratus penjawat awam dan pekerja swasta dibenarkan bekerja di pejabat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, kebenaran hanya dilonggarkan bagi kenderaan yang membawa pesakit dan dibolehkan menaiki tiga orang.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan terlalu ramai dalam kenderaan.

"Keputusan ini sudah termaktub dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lalu termasuk membenarkan hanya dua orang dalam satu kenderaan kecuali membawa pesakit dibolehkan tiga orang.

"Kita tidak mahu terlalu ramai orang dalam kereta," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Kerja Keselamatan Negeri Bagi Mengawal Penularan Covid-19 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan permohonan Kelantan kepada kerajaan pusat untuk melaksakan PKP yang lebih ketat ditolak dan disaran agar SOP diperketatkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Sebagai rekod situasi kes Covid-19 di Kelantan dilihat semakin membimbangkan dengan jumlah kes melebihi 400 kes sehari sejak kebelakangan ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama Izani berkata, pihak membuat keputusan memperketatkan SOP PKP dengan kebenaran bekerja dari rumah bagi kakitangan awam dan swasta.

"Kerajaan memutuskan hanya 30 peratus penjawat awam dan swasta yang perlu hadir ke tempat kerja bermula dengan segera atau Ahad ini.

"Kakitangan yang lain, mereka boleh bekerja dari rumah. Orang yang diberi kebenaran kerja di rumah ini perlu memastikan mereka benar-benar berada di rumah, bukannya keluar berada di tempat awam. Kerajaan minta tolong supaya pekerja ini berada di rumah," tegasnya.

Selain itu tambahnya, penguatkuasaan yang tegas turut diambil membabitkan gerai-gerai tepi jalan yang dilihat mengabaikan SOP.

Katanya, kerajaan minta rakyat menjaga SOP ketika berniaga atau membeli di gerai tepi jalan.

"Penjarakan gerai di tepi jalan kena ada sekurang-kurangnya tiga meter.

"Kerajaan akan menjalankan penguatkuasaan di gerai tepi jalan dalam memastikan semua pihak patuh SOP," kata Izani yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Kijang.

Lihat Komen
ADS