Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor bimbang pusat kuarantin sesak
Diterbitkan:  May 11, 2021 1:12 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Seorang doktor meluahkan kebimbangan berhubung situasi sesak yang didakwanya berlaku di sesetengah pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) Covid-19.

Ini setelah gambar-gambar daripada pusat kuanrantin di Kelantan disiarkan di alam maya, termasuk oleh agensi berita nasional Bernama, yang menunjukkan katil disusun dengan jarak kurang semeter antara satu sama lain.

“Tak dapat nak percaya yang kita kuarantin orang dalam keadaan sesak sebegitu? Tak selamat, tak cukup ruang pengudaraan. Harap-harap ini tidak benar? @KKMPutrajaya,” ciap seorang perunding pediatrik kanan Amar-Singh HSS di Twitter.

PKRC selalunya digunakan untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak menunjukkan gejala serius.

Bagaimanapun, Amar memberi amaran bahawa keadaan sesak boleh meningkatkan beban virus dalam tubuh pesakit Covid-19.

“Beban virus akan meningkat apabila pesakit dikurung bersama-sama seperti itu.

“Kita perlu buka lebih banyak kemudahan untuk mengagih-agihkan orang (pesakit),” kata Amar.

Semakin tinggi beban virus, semakin serius gejala yang cenderung dihadapi oleh pesakit Covid-19.

Kelantan membuka beberapa PKRC baru selepas ia kehabisan katil Covid-19 di hospital.

Di seluruh negara, bilangan kes aktif Covid-19 sudah melebihi bilangan katil tersedia. Negara mencatatkan 37,396 kes Covid-19 aktif setakat semalam.

Negara turut kehabisan katil pada Februari lalu. Pada masa itu, kerajaan meminta pesakit Covid-19 berisiko rendah untuk tinggal di rumah sendiri.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS