Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perang menentang Covid-19 belum tamat - Dr Noor Hisham
Diterbitkan:  May 13, 2021 12:14 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

“Peperangan masih berjalan dan warga Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan pertahanan terakhir bagi memutuskan rantaian Covid-19. Semoga terus berikhtiar dan cuba sedaya upaya bagi membebaskan negara daripada pandemik ini”.

Itu antara pesanan yang dititipkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada warga kerja KKM ketika mengadakan sesi tinjauan di Hospital Putrajaya pada hari pertama Aidilfitri, di Putrajaya.

Ia merupakan rutin lazim Dr Noor Hisham pada setiap Hari Raya Aidilfitri bagi menyantuni warga KKM sebagai tanda sokongan kepada barisan petugas hadapan kesihatan.

“Petugas kesihatan telah ‘berperang’ untuk tempoh yang amat panjang, iaitu hampir 16 bulan. Kebanyakan kita telah pun lesu dan juga (letih) dari segi mental dan fizikal, tapi kalau kita tidak membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, maka ramai komuniti akan dijangkiti virus itu,” katanya kepada media selepas sesi tinjauan terbabit.

KKM juga, kata beliau, telah bersiapsiaga dengan penyediaan peralatan dan fasiliti kesihatan bagi menghadapi pandemik Covid-19 ditambah lagi jenis varian baharu virus yang dikenal pasti dalam negara.

Dr Noor Hisham mengulangi peringatan mesranya iaitu supaya rakyat sentiasa duduk rumah sekiranya tiada urusan penting dan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang lengkap berbaju Melayu berwarna kelabu lembut meluangkan masa kira-kira setengah jam di hospital berkenaan.

Sementara itu, seorang penolong pegawai perubatan di hospital berkenaan Mohamad Zahir Omar, 27, berkata biarpun sedih tidak dapat beraya di kampung, namun bersyukur diberi kesempatan berbakti kepada negara dan rakyat pada hari bermakna ini.

“Ini musim pandemik, dan menjadi tanggungjawab saya agar menjalankan tugas yang terbaik dalam memastikan kesihatan rakyat terbela,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Penyelia jururawat Kamsiyah Krosnin yang telah berkhidmat dengan KKM selama 24 tahun berkata beliau pernah bekerja pada Hari Raya Aidilfitri tujuh kali berturut-turut namun akur ia adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.

“Raya atau bukan raya, kita terikat dengan kerja dan perlu berkhidmat mengikut jadual yang ditetapkan. Emosi perlu diketepikan demi tugasan. Nyawa dan kesihatan individu lagi penting, lagi-lagi waktu pandemik ini,” katanya.

- Bernama 

Lihat Komen
ADS