Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kes di ICU bukan angka semata, mereka manusia ada keluarga'
Diterbitkan:  May 13, 2021 1:23 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyeru orang ramai terus istiqamah mematuhi SOP dan menyambut kedatangan Syawal dengan cara sederhana.

Dia memaklumkan setakat semalam jumlah pesakit dirawat di ICU telah pun mencecah 641 kes dengan 469 kes disahkan Covid-19 manakala 244 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Kes-kes ICU ini bukanlah angka statistik semata-mata. Setiap satu daripadanya adalah seorang ayah, ibu, abang, kakak, adik atau sahabat karib seseorang.

"Banyak wad ICU kita telah penuh dengan pesakit Covid-19 dan hospital telah menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa menjadi ICU," katanya pada satu hantaran di media sosial.

"Lindungilah ahli keluarga kita yang tersayang, terutamanya warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung daripada risiko jangkitan virus ini," jelasnya.

Minggu lalu pada sidang media pertamanya sejak lebih dua bulan, Noor Hisham memaklumkan data yang menunjukkan empat hospital di Lembah Klang sudah beroperasi di luar kemampuan dan katil-katil ICU di 19 hospital awam di seluruh negara telah dipenuhi dengan lebih 70 peratus pesakit Covid-19.

"Menyelamatkan nyawa itu lebih penting dalam situasi seperti ini.

"Semoga kita dipanjangkan umur dan bersua kembali dengan Ramadhan dan Syawal pada tahun hadapan, Insya Allah," katanya lagi.

Angka korban harian merekodkan angka tertinggi semalam, dengan 39 lagi kematian.

Menurut Dr Noor Hisham daripada jumlah kematian itu, sebanyak 37 kes melibatkan warganegara manakala dua lagi bukan warganegara sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,761 kes.

Pada 7 Mei 2021, saya ada melaporkan jumlah kes Covid-19 yang dirawat di ICU termasuk yang disahkan (confirmed), dalam...

Posted by Noor Hisham Abdullah on Wednesday, May 12, 2021


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS