Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vaksin: Kenapa lulus S'wak, P Pinang dah 3 bulan mohon - Sim
Diterbitkan:  May 18, 2021 10:30 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Adakah perbezaan politik kerajaan persekutuan dan kerajaan Pulau Pinang menjadi sebab permohonan negeri itu untuk mendapatkan Vaksin Covid-19 tidak mendapat maklum balas selepas tiga bulan, soal Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Sedangkan Sarawak, katanya sudah mendapat kelulusan kerajaan.

"Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin pada bulan April 2021 telah mengatakan bahawa kerajaan negeri yang berhasrat membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 boleh membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan.

"Beberapa hari lepas, Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee mengatakan Sarawak bakal menerima 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri.

"Ini menimbulkan persoalan bagaimana Sarawak boleh mendapat kelulusan kerajaan persekutuan untuk membeli bekalan mereka sedangkan Pulau Pinang tidak menerima kelulusan yang sama," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Sim, sejak 15 Februari 2021, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memohon kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menerima sumbangan 2,000,000 dos vaksin Sinovac bagi kegunaan rakyat Pulau Pinang tanpa melibatkan kos kepada kerajaan persekutuan.

"Namun selepas tiga bulan, permohonan tersebut masih tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan persekutuan," jelasnya.

Sim berkata kerajaan persekutuan perlu melakukan apa sahaja untuk memastikan benteng terakhir negara melalui program imunisasi tidak gagal seperti strategi melawan Covid-19 sebelum ini.

"Ini bukannya masa untuk berpolitik. Kerajaan persekutuan perlu bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri tanpa melihat kepada perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan Covid-19.

"Isu bekalan vaksin adalah masalah utama dalam program imunisasi sekarang apabila bekalan vaksin tidak mencukupi.

"Walaupun Fasa 2 pemberian vaksin sudah bermula pada April 2021, sehingga kini, masih ramai warga emas yang merupakan kumpulan sasaran bagi fasa ini masih belum mendapat tarikh untuk menerima vaksin pertama mereka," katanya lagi,

Sim juga mengulangi amarannya sebelum ini bahawa matlamat vaksinisasi 9.4 juta penduduk Malaysia menjelang Ogos 2021 dan seterusnya sasaran vaksinisasi 80 peratus penduduk Malaysia pada hujung tahun ini akan gagal jika kerajaan tidak membuat perubahan yang drastik kepada proses sedia ada bagi pelaksanaan Pick pada masa kini.

Semalam, pemimpin DAP veteran Lim Kit Siang menggesa kerajaan Persekutuan membenarkan semua kerajaan negeri menguruskan perolehan vaksin Covid-19 sendiri.

Ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata negara kini berada dalam perlumbaan melawan masa dan sehubungan itu program imunisasi perlu dipercepatkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS