Kerajaan Kelantan mengumumkan sumbangan RM 3,651,347 untuk membantu rakyat Palestin.

“Jumlah kutipan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah) sehingga tarikh 19 Mei 2021 adalah sebanyak RM1,003,436.32.

“Manakala sumbangan melalui NGO adalah sebanyak RM545,000.00. Dan melalui Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan berjumlah RM 2,102,910.95.

“Dengan itu, jumlah keseluruhan kutipan Tabung Kemanusiaan Palestin daripada Negeri Kelantan Darul Naim adalah berjumlah RM 3,651,347.27,” kata Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Pada 13 Mei lalu, kerajaan Kelantan mengumumkan sumbangan RM100,000 melalui Tabung Serambi Mekah yang dibuka selama tujuh hari bermula 13 Mei 2021 sehingga 19 Mei 2021.

Dalam kenyataan di Kota Bharu, Ahmad berkata, antara yang membuat sumbangan termasuk sultan, menteri besar, exco kerajaan negeri, speaker, Kelab Penyokong Kerajaan, Adun, GLC dan masyarakat pelbagai kaum.

Tambahnya, sumbangan tersebut akan disalurkan kepada kerajaan Malaysia melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang yang juga presiden PAS.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kelantan atas solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap sumbangan itu akan memberi keberkatan kepada Kelantan dalam memerangi wabak Covid-19.

“Semoga dengan sumbangan ini Allah SWT melimpahi keberkatan kepada negeri Kelantan disaat kita sedang berusaha memutuskan rantaian Covid-19 dan terus berikhtiar untuk mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.