Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin selesai beri keterangan isu didakwa langgar SOP
Diterbitkan:  May 27, 2021 7:43 PM
Dikemaskini: 11:43 AM

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman hari ini selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara petang tadi berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Bekas pengerusi Prasarana itu hadir pada jam 4.45 petang dan meninggalkan IPD Dang Wangi sejam kemudian.

Dia disiasat berhubung kegagalannya memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media, Selasa lalu.

Pada sidang media Selasa lalu berhubung kejadian insiden kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), Tajuddin hanya memakai pelindung muka tanpa pelitup separuh muka pada sidang media khas berkenaan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini membuat laporan polis terhadap Tajuddin berhubung perkara itu.

Tajuddin disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang hanya memakai pelindung muka (face shield) tanpa mengenakan bersama pelitup muka di kawasan sesak boleh dikenakan kompaun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abidin Abdullah mengesahkan kehadiran Tajuddin ke IPD Dang Wangi bagi dirakam keterangan.

Dalam satu kenyataan, Mohammad Zainal memaklumkan seramai lima individu telah dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

Jelasnya kesemua individu terbabit hadir memberi keterangan hari ini. Selain Tajuddin, individu lain yang hadir ialah wakil dari Prasarana serta Syed Saddiq.

“Kita akan memanggil beberapa lagi individu untuk dirakamkan percakapan, termasuk petugas media yang hadir sidang media (dikendalikan Tajuddin) Selasa lalu,” katanya menerusi kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS