mk-logo
Berita
KSN: Perkhidmatan awam bekerja dari rumah sepenuhnya
Diterbitkan:  May 30, 2021 1:56 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuhnya susulan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki berkata arahan itu tidak termasuk perkhidmatan barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

“Semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan serta tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan.

“Perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan dalam talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki turut memaklumkan bahawa pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

“Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U (A) 395 - Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi kapasiti 20 peratus di pejabat.

Antara urusan yang dibenarkan kehadiran di pejabat ialah pembayaran kontrak, invois atau gaji, pembayaran atau pengagihan bantuan bulanan dan berkala kepada rakyat, penyelenggaraan atau keselamatan permis dan pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem serta mesyuarat dalam talian.

Turut dibenarkan penyediaan kertas atau dokumen melibatkan jemaah menteri, penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja.

Mohd Zuki juga berkata pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan.

“Sebarang pengecualian arahan itu perlu mendapat kelulusan Pejabat KSN,” katanya.

- Bernama

 

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Paling Popular
Terkini