Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjawat awam akan sumbang RM30 juta - KSN
Diterbitkan:  Jun 1, 2021 1:23 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali memaklumkan bahawa penjawat awam juga akan menyumbangkan sekitar RM30 juta kepada Akaun Amanah Bencana.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Zuki berkata bahawa sumbangan itu datang dari lebih 800,000 penjawat awam dari hampir semua gred hasil sumbangan daripada imbuhan tetap keraian (ITK) dan imbuhan tetap khidmat awam (ITKA) mereka.

Dia menambah bahawa potongan itu akan dilaksanakan selama tiga bulan.

“Sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dalam hal ini sebahagaian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

“Sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam (tidak termasuk frontliners dan penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28) adalah dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.” katanya.

EMBED:

Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan ITK, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.

Zuki berkata surat edaran dan perincian pelaksanaan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program-program terdahulu.

Muhyiddin turut mengumumkan setiap menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun yang mana gaji tidak diambil itu disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

"Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini," kata Zuki.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di negara kita.

"Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita," katanya.

Lihat Komen
ADS