Kementerian Pendidikan telah mengagihkan hampir 13,000 peranti termasuk laptop kepada murid sekolah dari kelompok B40 setakat ini, menurut menterinya Mohd Radzi Md Jidin.
Radzi berkata, baki serahan dengan sasaran 150,000 laptop akan selesai dibuat pada akhir September 2021.
"Sebanyak 12,887 unit telah diagihkan ke 95 buah sekolah...manakala 40,290 agihan lagi akan selesai pada 12 Jun.
"Baki agihan 96,823 unit lagi dijangka selesai pada akhir September 2021," katanya ketika sidang media dalam talian hari ini.
Agihan peranti melalui inisiatif itu dibuat menerusi Yayasan Hasanah dan diumumkan ketika Belanjawan 2021 pada November lalu.
Sebelum ini pelbagai pihak membangkitkan status agihan peranti tersebut, susulan kesukaran sesetengah pelajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pemberian 150,000 peranti tersebut - iaitu laptop dan tablet - disumbang oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Dalam pada itu, Radzi ketika ditanya mengenai status vaksinasi guru-guru, dia menjelaskan kira-kira 70,000 warga pendidik telah menerimanya.
"Sehingga kini lebih 70,000 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
"Sesi pesekolahan tak akan dibuka sehingga Julai, kita akan usahakan dalam tempoh ini untuk tingkatan imunisasi dalam kalangan guru-guru," katanya.
Oleh itu, Radzi berkata dia akan berbincang dengan menteri berkaitan perkara itu.