Kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew bahawa masyarakat Cina di Malaysia telah dipinggirkan adalah satu hakikat yang terbukti kebenarannya, dan tidak perlu diperdebatkan lagi.

Malah, kaum Cina patut meninggalkan negara ini untuk masa depan yang lebih baik, ekoran semakin sukar untuk mereka mendapatkan pendidikan dan pekerja yang baik.

Begitulah antara pandangan yang diutarakan dalam sebuah forum malam tadi yang dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Hak Sivil, Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan akhbar Oriental Daily.

Para penceramah di forum tersebut ialah Presiden KLSAH Datuk Bong Hon Liang, pakar ekonomi Dr Hoo Ke Ping dan ahli akademik Tee Bon Chuan (foto).

Tee Pengarah Pusat Kajian Etnik Malaysia di Kolej New Era berpandangan bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan bukan dari aspek kaum tetapi dari aspek agama.

Di samping itu, katanya, kaum Cina juga meminggirkan diri mereka sendiri dengan bersikap tidak ambil kisah terhadap masalah sosial.

"Setiapkali timbul masalah yang berkaitan dengan orang Islam dan masyarakat Melayu, reaksi biasanya dari masyarakat Cina ialah mereka tidak ambil kisah. Dengan bersikap demikian, mereka telah meminggirkan diri sendiri.

"Kaum Cina mesti mengubah sikap ini. Apa juga masalah yang membabitkan masyarakat Melayu, contohnya, akhirnya turut menjejaskan masyarakat Cina. Apa juga yang berlaku di negara ini adalah juga masalah orang Cina," katanya.

Alasan peminggiran

Hoo juga berkata, pemimpin politik menggunakan alasan peminggiran ini 'untuk mengambil bahagian kek ekonomi untuk kaum lain'.

"Kita bercakap mengenai kenyataan (Lee) Kuan Yew sama ada masyarakat Cina dipinggirkan atau tidak. Dan di sini, orang Melayu berkata, mereka dipinggirkan. Kita semua berkata kita telah dipinggirkan. Hakikatnya ialah kek ekonomi tidak bertambah.

"Itulah sebabnya kaum Cina merasa mereka dipinggirkan. Rakyat berebut antara satu sama lain untuk mendapatkan bahagian lebih besar," tambahnya.

Katanya lagi, apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal pada 1972, tujuan utamanya ialah pengagihan kekayaan dan "setiap orang mendapat sepotong kek ekonomi atau kita akan berebut antara satu sama lain."

Hoo merasakan tuduhan yang dilemparkan kepada Lee bersifat hipokrat. "Para pemimpin kita patut melihat situasi politik dan ekonomi di negara kita sendiri serta sistem pendidikan kita. Kita adalah masalah," katanya.

Menurutnya lagi, kaum Cina telah dipinggirkan sejak rusuhan kaum pada 1969.

Hilang kuasa

"Apabila kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai wilayah persekutuan, maka persekitarannya telah berubah secara total. Setiapkali dilakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya, masyarakat Cina kerugian sesuatu.

"Saya percaya Lee Kuan Yew betul. Jangan kecam beliau. Kaum Cina telah dipinggirkan melalui politik sejak sekian lama. Menjelang tahun 2020, penduduk Cina akan kurang sebanyak 20 peratus. Kaum Cina tidak akan ada kuasa lagi untuk mendapat pengaruh politik. Ini adalah hakikat yang harus kita terima," tambahnya.

Menurutnya, masyarakat Cina perlu melihatkan kepada prospek yang lebih luas dalam arena antarabangsa dan bukan menghadkan kepada kalangan mereka sahaja di Malaysia.

"Ahli profesional Malaysia di Hong Kong, Cina dan di mana sahaja, ini adalah jalan penyelesaian kita. Tempat tanpa peminggiran. Mengapa saya berjuang untuk mendapat sedikit? Saya mempunyai anak untuk belajar di luar negara dan bukan di Malaysia kerana masa depan yang baik tidak terdapat di Malaysia.

"Nenek moyang kita datang dari Nanyang (Asia Tenggara) beratus-ratus tahun dahulu untuk mencari penyelesaian. Sekarang kita berdepan dengan masalah yang sama sepertimana nenek moyang kita dahulu. Kita perlu mencari satu penyelesaian yang baik," katanya.

Nenek moyang

Bagaimanapun Bong yang tidak bersetuju dengan pandangan Hoo, berkata: "Sebagai rakyat Malaysia, nenek moyang kita datang ke Malaysia selepas menghadapi kesukaran. Tetapi sekarang kita perlu berdiri dan memperjuangkan hak kita dan bersedia berdepan dengan cabaran ini," katanya.

Beliau menyebut pendidikan Cina sebagai contohnya: "Selama bertahun-tahun kerajaan telah cuba menghapuskan pendidikan Cina. Tetapi ia masih wujud dan maju. Ini kerana sokongan daripada masyarakat."

Menurutnya, masyarakat Cina perlu menyedarinya dan kemudian berusaha meningkatkan kesedaran sivik. "Kita perlu belajar untuk berkembang bersama-sama dengan masyarakat etnik yang lain."

"Kemajuan negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada orang Cina. Kita mesti biarkan kaum-kaum lain bersaing untuk prospek yang sama dan kita perlu bawa semua kaum ke meja perbincangan," katanya. Berita asal