Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu jawab Khaled: Ugut tarik diri dari PN dah basi
Diterbitkan:  Jun 9, 2021 12:28 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman menyifatkan ugutan Naib Presiden Umno, Khaled Nordin bahawa parti itu boleh menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) sebagai 'sudah basi'.

Malah, Muhammad Faiz berkata ada perbezaan jelas antara teguran ikhlas dengan cubaan menangguk di air keruh yang dilakukan Khaled bagi 'menghentam' kerajaan'.

"Ada perbezaan jelas antara teguran ikhlas menggunakan saluran dalaman sesama parti yang secara rasminya sedang mendukung kerajaan dengan menangguk di air yang keruh untuk ambil kesempatan menghentam kerajaan sendiri secara terbuka hampir 24 jam untuk jadi popular.

"Ugutan untuk tarik diri sokong PN ini telah pun basi kerana masyarakat tahu bahawa kelompok prokluster mahkamah dalam Umno sudah lama mencari alasan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

"Ini sejak idola mereka (bekas perdana menteri) Najib Razak dijatuhi hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi tahun lepas kerana korupsi skandal SRC-1MDB," katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Faiz mengulas kenyataan Khaled baru-baru ini bahawa Umno bukan saja berhak menegur kerajaan Perikatan Nasional (PN) malah boleh menarik diri daripada kerajaan.

Khaled yang juga bekas menteri besar Johor sebelum ini berkata Umno sebagai parti terbesar yang membentuk gabungan PN mempunyai hak dan tugas untuk memastikan pemimpinnya melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Kita tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana-mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu adalah daripada kalangan kita.

"Umno tidak boleh bersikap demikian kerana seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata tidak ada siapa yang menghalang mana-mana pihak ditegur atau dinasihati dalam negara ini.

Bagaimanapun katanya ia bukanlah dengan cara menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara.

"Contohnya seperti menghasut kebencian tanpa bukti kukuh, sengaja menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat walaupun sudah ada penjelasan rasmi dari pihak berwajib serta sengaja menimbulkan polemik hal-hal yang sedang diusahakan penyelesaian oleh pihak kerajaan atau sengaja bersifat ngada-ngada mahu berpolitik ketika negara dilanda bencana," katanya.

Umno membentuk kerajaan bersama Bersatu, PAS, GPS dan parti dari Sabah pada Mac tahun lalu selepas kejatuhan keeajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun hubungan Umno dengan Bersatu tegang dan ibarat retak menungguh belah.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) April lalu, Umno membuat keputusan menamatkan kerjasama parti itu dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Lihat Komen
ADS