Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pelanggaran LRT akibat Tren 81 dilepas tanpa pengesahan tepat' - MOT
Diterbitkan:  Jun 10, 2021 6:55 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengenal sebab utama nahas perlanggaran LRT bawah tanah di ibu negara pada 24 Mei yang mengakibatkan 200 orang cedera dan beberapa penumpang kritikal.

Menurut Menterinya Wee Ka Siong kabinet telah dimaklumkan mengenai rentetan peristiwa yang menyebabkan berlakunya perlanggaran tersebut.

"Antara lain kerana masalah teknikal, kegagalan komunikasi antara pusat kawalan operasi (OCC) dengan hostler (pemandu) Tren 40 tanpa penumpang yang pada ketika itu sedang berada dalam pengendalian ‘time out’ dan pelepasan Tren 81 sehingga berlakunya perlanggaran," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Tren 40 mengalami masalah teknikal pada salah satu daripada dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC) pada jam 6.26 petang, 24 Mei 2021.

"Apabila satu VOBC gagal berfungsi dan hilang komunikasi dengan OCC maka tren perlu dikosongkan di stesen berikutnya serta dikeluarkan dari perkhidmatan untuk penyelenggaraan di depoh Lembah Subang.

"Ia dilakukan menerusi kawalan automatik (Automatic Train Operation - ATO) dengan VOBC kedua yang masih berfungsi. 

"Namun, pada jam 8.13 malam, VOBC kedua Tren 40 ini juga gagal berfungsi ketika dalam perjalanan ke Lembah Subang dan terkandas di antara stesen LRT KLCC dan Kampung Baru.

"OCC tidak dapat mengawal Tren 40 apabila kedua-dua VOBC tidak berfungsi. Justeru itu Hostler diarahkan untuk mengendalikan Tren 40 secara manual ke stesen berdekatan, Dang Wangi bagi tujuan 'reset' untuk berada di dalam mod ATO," katanya.

Menjelaskan lanjut, Wee berkata siasatan mendapati ketika proses pemindahan Tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada ATO, "kedua-dua Hostler dan pengawal (controller) OCC telah mengabaikan SOP kritikal tertentu."

"Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukannya ke selatan menuju ke depoh.

"Pada masa sama, Tren 81 sedang ditahan di stesen KLCC dan meletakkan keadaan status Manual Route Reservation (MRR) iaitu perlindungan kepada Tren 40 sebelum dapat dikendalikan secara ATO.

"Namun, Tren 81 dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan Tren 40 telah diset semula kepada ATO. Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlaku pertembungan antara Tren 40 dan Tren 81," katanya.

Wee menegaskan objektif siasatan MOT ini adalah bagi menentukan hal keadaan dan punca sebenar perlanggaran dengan tujuan mengelakkan insiden yang sama berlaku di masa hadapan serta menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam.

"Ia tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak," jelasnya.

Mesyuarat Kabinet pada 9 Jun 2021, kata Wee telah menerima 23 cadangan Jawatankuasa Siasatan untuk penambahbaikan sistem ini dan MOT juga akan mengaudit kemajuan penambahbaikan ini secara berkala.

"Kerajaan memandang serius insiden ini dan telah mengarahkan MOT untuk mengkaji dan menambahbaik prosedur keselamatan, garis panduan operasi perkhidmatan rel serta penyelenggaraan aset Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Rapid Rail Sdn Bhd," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS