Tinjauan: Ahli parlimen tak puas hati perjalanan program vaksinasi
Sebanyak 71 peratus daripada 58 ahli parlimen yang ditemui dalam satu kaji selidik berpendapat pengagihan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak cekap, lambat atau tidak bebas.
Sebaliknya hanya 19 peratus berpandangan pelaksanaan PICK berlangsung dengan baik, manakala baki 10 peratus tidak pasti.
Ia adalah dapatan daripada tinjauan dilakukan Seed Community for a Professional Parliament (Seed) baru-baru ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Seed berkata dalam kalangan ahli parlimen kerajaan yang ditemui sebanyak 43 peratus yang menganggap pelaksanaan program itu berjalan dengan baik, pantas serta bebas, manakala separuh lagi berpendapat sebaliknya.
Kata Seed mereka mempelawa semua 220 ahli parlimen yang ada untuk memberikan maklum balas kepada soalan yang disediakan.
Katanya daripada jumlah itu 58 ahli parlimen - atau 26 peratus daripada 222 kerusi yang ada di Dewan Rakyat - menjawab dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Dua daripada responden terbabit, kata Seed, merupakan timbalan menteri.
Tinjauan secara dalam talian itu dijalankan di antara 20 Mei hingga 12 Jun bagi mendapatkan maklum balas ahli parlimen mengenai pelaksanaan PICK.
Kata Seed, ahli parlimen terbabit datang dari sembilan negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Tiga puluh enam daripada mereka mewakili kawasan bandar manakala 16 mewakili kerusi separa bandar dan enam lagi dari kawasan luar bandar.
"Mereka sepakat bersetuju mengenai peranan penting yang perlu dimainkan oleh anggota parlimen dalam usaha imunisasi Covid-19 kebangsaan," kata Seed.
Pada masa sama Sedd berkata tinjauan itu juga mendapati 81 peratus ahli parlimen berkenaan memberitahu mereka tidak memiliki maklumat mencukupi untuk melaksanakan fungsi di kawasan masing-masing.
Walaupun mengakui kerajaan mengambil pendekatan yang tidak memihak ahli parlimen terbabit berasa penglibatan pemerintah hanya terbatas pada komunikasi sehala dalam aspek memberikan maklum balas atau meminta penjelasan daripada pihak berwajib.
"Kekangan ini mempengaruhi kemampuan anggota parlimen untuk melaksanakan fungsi mereka," kata Seed.
Daripada 36 ahli parlimen yang menghadiri taklimat diberi kerajaan mengenai PICK, kata Seed, 76 peratus daripada mereka berasa maklumat yang diterima tidak memadai bagi membolehkan persoalan dibangkitkan pengundi masing-masing dijawab.

