mk-logo
Berita
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat menghadap Agong hari ini
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 12:32 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Arifin Zakaria dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini.

Menurut Astro Awani, Arifin yang juga bekas ketua hakim negara dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara dengan menaiki kereta Proton Perdana Hitam, pada kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.

Sesi menghadap hari ini selepas siri pertemuan Sultan Abdullah dengan pemimpin-pemimpin parti politik pada minggu lalu.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 dengan tujuan untuk menasihati Agong berhubung penamatan atau pelanjutan penguatkuasaan darurat.

Jawatankuasa dianggotai 19 ahli yang antaranya merangkumi pakar-pakar kesihatan awam, pendidikan, pentadbiran awam dan undang-undang, wakil parti politik dan mufti.

Tidak banyak yang dimaklumkan kepada umum berhubung mesyuarat jawatankuasa ini. Ia mengundang kritikan sejumlah pihak yang menggesa jawatankuasa agar lebih telus.

Bagaimanapun, Arifin sebelum ini berkata pihaknya tidak boleh membentangkan laporannya seperti yang diminta beberapa pihak.

"Saya tak boleh cakaplah, semua ini kena tanya sekretariat. Ini peraturan dia, sebab semuanya private and confidential. Kita hanya lapor kepada Agong," kata Arifin kepada Malaysiakini pada 11 Jun lalu.

Selain Arifin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut dijangka menghadap Sultan Abdullah hari ini.

Lihat Komen
ADS