Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu tunggal dakwa dirogol inspektor, bekas suami hadapi tuduhan dadah

Seorang janda yang dikaitkan dengan dakwaan kes rogol membabitkan seorang inspektor hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana mengedar dan memiliki dadah.

Turut menghadapi dua pertuduhan di mahkamah sama ialah bekas suami wanita terbabit.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh yang masing-masing berusia 28 dan 29 tahun didakwa mengedar dadah disyaki methamphetamine seberat kira-kira 61 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan bekas suami isteri itu didakwa ada dalam kawalan mereka dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat kasar 13.6 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, kira-kira jam 4.20 petang pada 4 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Siti Edabayu Subhan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan tarikh 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu, ibu tunggal kepada dua anak itu mendakwa menjadi mangsa rogol membabitkan seorang pegawai penyiasat polis berpangkat inspektor pada minggu lalu. 

Semalam Malaysiakini melaporkan, pegawai itu dilepaskan dengan jaminan polis semalam selepas ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut. 

Lihat Komen
ADS