Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K’jaan lulus vaksin Pfizer kepada golongan umur 12 tahun ke atas
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-359 (DCA) hari ini meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Jan lalu, bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

“Walaupun tambahan indikasi ini diluluskan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi, selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, PBKD juga memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi dua produk vaksin yang memerlukan hanya satu dos pelalian.

Katanya dua vaksin itu adalah 'Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector)' keluaran CanSino Biologics Inc, China, dengan pemegang pendaftaran produk Solution Biologics Sdn Bhd dan 'Janssen Covid-19 Vaccine' keluaran Johnson & Johnson, yang diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Noor Hisham berkata, pendaftaran 'Janssen Covid-19 Vaccine' yang diperolehi kerajaan Malaysia melalui fasiliti COVAX, dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan WHO EUL.

Beliau berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan, produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa, bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko kekal positif.

“KKM sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19, melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan, oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS