Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis sahkan kilang Carsem Ipoh ada surat kelulusan Miti
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 8:34 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Kilang Carsem (M) Sdn Bhd (S-Site) di sini yang beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memiliki surat kelulusan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata hasil pemeriksaan mendapati kilang itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor pengilangan dan pembuatan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

"Bagi mengesahkan kesahihan maklumat seperti yang ditularkan dalam media sosial, polis daerah Ipoh telah menjalankan satu operasi bersepadu melibatkan pihak MITI Negeri Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta untuk membuat pemeriksaan pematuhan SOP di kilang tersebut hari ini.

"Hasil pemeriksaan, pasukan pemeriksa mendapati bahawa pihak pengurusan kilang memiliki surat kelulusan beroperasi yang dikeluarkan oleh Miti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengoperasian kilang yang menghasilkan komponen elektronik itu tular menerusi media sosial dan netizen mendakwa kilang itu masih beroperasi sedangkan berpuluh pekerja kilang tersebut dijangkiti wabak Covid-19.

Yahaya berkata pihaknya akan sentiasa memantau secara berterusan terhadap kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP bagi memastikan SOP sektor pengilangan dan pembuatan dipatuhi sepenuhnya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan komen yang tidak benar dan tohmahan tidak berasas dengan menularkan berkaitan isu operasi kilang berkenaan dalam media sosial.

"Ini bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat yang dikhuatiri akan menjejaskan reputasi kilang terbabit dan kredibiliti agensi penguat kuasa undang-undang berkaitan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS