Jerebu: 14 kawasan di Semenanjung catat IPU tidak sihat
Keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia bertambah buruk hari ini dengan 14 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pagi ini berbanding 10 kawasan petang semalam berikutan keadaan angin yang tidak menentu.
Keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia bertambah buruk hari ini dengan 14 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pagi ini berbanding 10 kawasan petang semalam berikutan keadaan angin yang tidak menentu.
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar Nilai, Negeri Sembilan mencatat bacaan paling tinggi dengan 194 diikuti Sri Manjung, Perak (183) dan Seremban, Negeri Sembilan (181).
Sementara enam kawasan di Selangor mencatat IPU tinggi ialah Kuala Selangor (181), Country Heights, Kajang (158), Shah Alam (145), Petaling Jaya (139), Pelabuhan Klang (131) dan Gombak (127).
Kawasan lain terdiri dari dua kawasan di Melaka iaitu Bukit Rambai (131) dan Bandaraya Melaka (110), serta S K Jalan Pegoh, Ipoh (113).
Sementara itu, IPU yang dicatatkan di Kuala Lumpur juga meningkat daripada 80 semalam kepada 159 hari ini, manakala di Putrajaya ialah 171 berbanding 98 semalam.
Menurut laporan Bernama, sebanyak 30 kawasan lain mencatatkan IPU sederhana iaitu antara 51 dan 100, dan tujuh kawasan menunjukkan kualiti udara sihat dengan bacaan IPU di bawah 50.
Kawasan yang masih sihat ialah Kangar di Perlis, Langkawi dan Alor Setar di Kedah, Labuan, Pasir Gudang di Johor dan dua kawasan di Sarawak iaitu Miri dan Limbang.
Sementara itu, Sarawak yang sebelum ini mengalami jerebu yang teruk telah pulih dengan kesemua 10 kawasan yang dipantau mencatat bacaan IPU di bawah 100.
Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca semalam memaklumkan keadaan angin yang tidak menentu menyebabkan jerebu melanda kawasan tengah dan barat daya Semenanjung Malaysia terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Katanya tiupan angin dari selatan dan tenggara terus membawa jerebu ke rantau ini daripada punca-punca di selatan Sumatera dan Kalimantan.

