Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH: Buka parlimen segera atau PM undur diri
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 12:50 AM
Dikemaskini: 1:10 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan jika gagal menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka semula parlimen secepat mungkin, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan pagi ini, Majlis Presiden PH turut menjunjung kasih di atas titah Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa persidangan parlimen perlu diadakan segera.

"Sekiranya perdana menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa perdana menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

"Dan jika perdana menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

Yang di-Pertuan Agong semalam menzahirkan pandangan bahawa parlimen harus bersidang semula secepat mungkin.

Bagaimanapun, menurut Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri harus menasihati baginda mengenai bilakah parlimen harus kembali bersidang.

Perintah Tetap Dewan Rakyat juga menyatakan bahawa perdana menteri perlu memutuskan sekurang-kurangnya 28 hari lebih awal untuk Dewan Rakyat kembali bersidang.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata parlimen boleh dibuka semula apabila pelan pemulihan negara berkaitan Covid-19 memasuki fasa ketiga.

Peralihan ke fasa ketiga akan dibuat selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berpendapat parlimen mungkin dibuka semula selewat-lewatnya pada September ini.

Lihat Komen
ADS