Malaysia berharap Korea Utara kembali ke meja rundingan dan menghentikan ujian nuklearnya bagi menjaga kestabilan dan keselamatan rantau Asia Timur.

Menteri Luar, Datuk Seri Abdul Hamid Albar berkata, Malaysia berpendapat ujian nuklear itu tidak akan membantu ke arah mewujudkan keadaan yang boleh menyumbang kepada kestabilan rantau ini.

Korea Utara perlu meneruskan rundingan dengan Korea Selatan, Jepun, China, Rusia dan Amerika Syarikat, katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan bahawa negara itu berjaya menjalankan satu ujian nuklear bawah tanah pagi ini.

Syed Hamid juga berkata sebarang sekatan tambahan oleh masyarakat antarabangsa tidak akan membantu rakyat Korea Utara yang selama ini menderita akibat kekurangan makanan, ubat-ubatan dan tenaga.

Mengenai keadaan jerebu sekarang, beliau berharap pelbagai perjanjian yang dipersetujui oleh Asean untuk menangani jerebu dapat dilaksanakan.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata cabaran utama kepada Asean ialah bukan melihat Indonesia menerima pakai perjanjian rentas sempadan mengenai jerebu tetapi bagaimana untuk menghentikan amalan pembakaran kawasan tanah gambut di negara itu selain menggembleng usaha negara anggota mengumpul dana untuk menghalang jerebu daripada berulang setiap tahun.

"Jika Indonesia menerima pakai perjanjian itu sekalipun, masalah jerebu akan menjadi masalah tahunan sekiranya dua cabaran itu tidak ditangani," katanya.

Sebelum itu, Syed Hamid dikunjungi Pesuruhjaya Eropah Bagi Perhubungan Luar dan Dasar Kejiranan Eropah, Benita Ferrero Waldner.

Antara perkara yang dibincangkan ialah cara meningkatkan hubungan antara Kesatuan Eropah dan Malaysia serta Asean.