mk-logo
Berita
Upacara kebumi didakwa ingkar SOP: Polis rekod keterangan ahli keluarga
Diterbitkan:  Jun 19, 2021 10:23 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

Polis telah merekodkan keterangan daripada ahli keluarga dan pihak pengurusan acara pengebumian yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Taman Samudera, dekat Alor Setar yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata video tular berkenaan dikesan telah dimuat naik pada 5.40 petang oleh seorang pemilik akaun laman sosial Facebook, sebuah pertubuhan di negeri ini.

"Polis telah memperoleh butiran dan keterangan mengenai acara pengebumian melibatkan kematian individu bukan Islam yang diiring ahli keluarganya.

"Mereka memaklumkan kehadiran ahli keluarga semasa proses pengebumian tersebut tidak melebihi 10 individu," katanya dalam kenyataan di Alor Setar, malam tadi.

Ahmad Shukri berkata polis turut memanggil pihak pengurusan acara pengebumian dan pengurusan mayat serta saksi yang hadir semasa perarakan pengebumian itu.

"Semakan kamera rakaman litar tertutup di tempat kejadian turut dibuat bagi mengesahkan jika terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu dari segi bilangan kehadiran tetamu atau jika terdapat pelanggaran SOP lain," katanya menambah kertas siasatan kes sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

- Bernama

Lihat Komen
ADS