Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantuan k'jaan untuk PKS: Boleh tengok, tapi tak boleh sentuh

Putrajaya telah mengumumkan pelbagai dasar membabitkan moratorium bayaran balik pinjaman, geran, pinjaman dan subsidi upah bagi membantu para peniaga bertahan ketika menghadapi situasi wabak Covid-19 dalam tempoh yang panjang.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah berulang kali menyebut bahawa langkah ini sebagai kejayaan besar.

Kelmarin, dia mendakwa bank telah meluluskan pinjaman RM12.12 bilion dan subsidi gaji RM1.215 bilion sejak bermulanya wabak ini.

Pun begitu, beberapa usahawan yang berusaha untuk mendapatkan manfaat kerajaan itu mendakwa hakikatnya jauh lebih buruk berbanding apa yang digambarkan oleh Putrajaya.

Masalah terbesar yang dihadapi oleh peniaga ini adalah permohonan pinjaman mereka tidak hanya ditolak oleh bank tetapi ditolak secara lisan, sehingga mereka tidak memiliki bukti untuk mengajukan kes mereka.

Seorang peniaga kasut, yang ingin dikenali sebagai Lee, berkata semua bank yang dikunjunginya untuk mendapatkan pinjaman yang difasiliti oleh Bank Negara (BNM) menolak permohonannya tanpa sebarang surat bertulis.

"Mereka menolak secara lisan, dengan mendakwa bahawa dokumen yang anda kirimkan tidak lengkap. Ini bukan hanya berlaku kepada saya bahkan usahawan lain yang menghadapi masalah aliran tunai yang teruk tidak dapat pinjaman dari bank.

"Kami tidak dapat menyuarakan keluhan kepada bank pusat kerana tidak ada hitam putih (dokumen) untuk membuktikan dakwaan kami apabila bank menolak permohonan kami secara lisan," keluhnya.

Lee memiliki beberapa kedai runcit di Lembah Kelang dan tidak ada yang dapat beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Samson Maman, yang menjalankan perniagaan percetakan digital di Subang Jaya, juga mendakwa bank-bank yang dirujuknya bagi mendapatkan pinjaman sejak tahun lalu menolak permohonannya dengan pelbagai alasan, selain menawarkan kepadanya pakej di luar kemampuan untuk dia membayarnya.

"Suatu ketika saya memohon (pinjaman) wang tunai berjumlah RM300,000. Sebaliknya, di belakang (mereka) memproses jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM700,000 dan menolak, dengan alasan saya tidak dapat membayar balik pembayaran bulanan sebanyak RM8,000.

"Kemudian saya cuba menggunakan lot kedai saya sebagai cagaran dengan bank lain. Mereka mengatakan tidak boleh kerana perniagaan saya adalah hak milik tunggal dan saya berusia di atas 60 tahun.

"Saya menawarkan untuk menubuhkan syarikat berhad persendirian tetapi kemudian mereka mengatakan bahawa mereka perlu melihat akaun syarikat selama tiga tahun," katanya.

Selain pinjaman baru, beberapa pemilik perniagaan mengadu bahawa mereka sukar mendapatkan moratorium pinjaman.

Selepas pengumuman pakej rangsangan Pemerkasa Plus, Lee berkata dia berusaha mendapatkan moratorium pinjaman tiga bulan atau pengurangan 50 peratus dalam jadual pembayaran balik pinjamannya.

Menurut Putrajaya dan persatuan bank, kumpulan B40 (golongan berpendapatan bawa 40 peratus), mereka yang kehilangan pekerjaan, dan mereka yang perniagaannya terpaksa ditutup layak mendapat moratorium pinjaman secara "automatik".

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dua kali menyentuh soal "moratorium automatik" dalam ucapannya mengenai Pemerkasa Plus.

Lebih mengejutkan Lee, bank yang dirujuknya meminta dia membuktikan kemerosotan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagaimana mungkin untuk membuktikan bahawa perniagaan saya sekarang lebih buruk daripada tahun lalu? 

"Pada bulan Mei dan Jun tahun lalu, kami baru saja keluar dari PKP dua bulan," kata Lee.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Mohamad Asfar Ali, berkata dalam sektor mereka banyak tidak bergantung pada bank, sebaliknya kemudahan pinjaman kredit yang dikawal selia oleh Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perumahan, yang tidak dilindungi oleh skim pembayaran pinjaman bank.

Skim itu boleh diakses oleh pengendali bas dengan caj perkhidmatan 0.5 peratus setahun.

"Kita tidak seharusnya mengalami kerugian, tetapi 99 peratus daripada kami mengalami kerugian akibat wabak ini," katanya.

Muhyiddin sewaktu melancarkan PemerkasaPlus juga berkata, kerajaan akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion.

Melalui skim itu, pengusaha bas dan teksi boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Selain berjuang dengan mendapatkan manfaat yang disediakan kerajaan untuk bertahan semasa PKP3.0, beberapa perniagaan lain risau mereka tidak mempunyai wang untuk memulakan semula perniagaan setelah sektor ekonomi dibuka semula.

Asfar, yang mewakili pengusaha bas, mendakwa beberapa anggotanya terpaksa menjual aset mereka baru-baru ini sejak sekatan rentas negeri dilarang Januari lalu.

"Sebilangan anggota kami terpaksa menjual rumah dan barang kemas isteri mereka," katanya.

[Baca laporan penuh]

Lihat Komen
ADS