Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM12.12 bilion dana pinjaman PKS diluluskan setakat 4 Jun - Zafrul

Jumlah permohonan dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS berjumlah RM12.12 bilion setakat 4 Jun 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata dana pinjaman mudah yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan memberi manfaat kepada 25,680 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF).

“Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-57, yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata setakat 4 Jun, sejumlah RM67.5 juta telah disalurkan kepada 13,869 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

Bagi pembiayaan sektor pelancongan PENJANA, beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19.

“Setakat 4 Jun, terdapat 666 permohonan bagi pembiayaan ini, dan daripada jumlah ini sebanyak 327 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM65.1 juta,” katanya.

Sementara itu, sebanyak RM421.2 juta telah disalurkan dalam tempoh yang sama bagi memanfaatkan 12,667 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan, tambah beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS