Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Potong giliran vaksin: MCA tuntut penjelasan KJ
Diterbitkan:  Jun 21, 2021 1:53 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

MCA menggesa menteri penyelaras vaksin Covid-19 Khairy Jamaluddin membuktikan bahawa program itu masih mengikut pendekatan siapa cepat dia dapat.

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivil MCA, Ng Kian Nam, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam bahawa terdapat pihak yang memotong giliran dan terlibat dalam rundingan 'pintu belakang' untuk mendapatkan vaksin.

"Ini bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang mahu proses vaksin mestilah mengutamakan rakyat dan dipermudahkan.

“Vaksinasi adalah isu kesihatan yang penting kepada kepentingan awam, oleh itu dasar siapa cepat dia dapat mesti dipatuhi untuk memastikan ketelusan dan profesionalisme,” katanya semalam .

Pada 16 Jun lalu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong turut menzahirkan pandangan bahawa perlu ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini memberitahu kerajaan sudah mengaktifkan Fasa 4 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kawalan wabak di kawasan industri dengan permulaan pemberian kira-kira 30,000 dos vaksin kepada pekerja industri yang beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ng berkata pengaktifan fasa ketiga yang melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang bermula hari ini seperti yang dinyatakan Khairy juga tidak adil bagi mereka yang sudah lama menunggu giliran.

Dia juga mendakwa Khairy dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bertindak mengubah peraturan dan matlamat PICK.

Pada masa sama Ng berkata walaupun MCA tidak menentang vaksinasi untuk pendatang asing tanpa dokumen, namun mereka percaya "masalah timbul ketika pihak berkuasa mengizinkan kumpulan utama dan memperkenalkan ketidaksetaraan dalam sistem, termasuk membiarkan pekerja asing yang tidak pernah mendaftar untuk vaksinasi diutamakan daripada pembayar cukai".

Dia juga membangkitkan masalah peruntukan kuota vaksin yang didakwa mengakibatkan kekurangan di beberapa kawasan seperti Negeri Sembilan dan lebihan bekalan di pusat pemberian vaksina (PPV) tertentu.

“Oleh itu, Biro Kempen Masyarakat Sivil MCA menyarankan pihak berkuasa untuk tidak terlalu bergantung pada PPV sebaliknya agihkan janji temu dengan cara yang lebih lokal, seperti klinik kerajaan, klinik swasta, dewan komuniti atau sekolah untuk mengelakkan orang ramai dan membiarkan orang-orang sampai ke lokasi dengan lebih mudah," katanya.

Lihat Komen
ADS