mk-logo
Berita
Sultan Ibrahim: DUN Johor bersidang 12 Ogos ini
Diterbitkan:  Jun 23, 2021 12:37 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bertitah berkenan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bersidang pada 12 Ogos 2021.

Sultan Ibrahim juga berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.

Baginda juga menzahirkan rasa "kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan."

"Saya mahu semua ahli dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan Negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri Johor dengan sebaiknya.

"Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) menerusi hantaran di laman rasmi Facebook baginda.

Pagi tadi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin.

Baginda juga turut berkenan menerima mengadap Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu, bagi mendapatkan laporan keadaan pendemik virus Covid-19 di negeri itu.

PH Johor pada 17 Jun lalu berkata sedia berbincang dengan menteri besar agar usaha dilakukan bagi membuka semula DUN.

Dalam satu kenyataan, PH Johor menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar parlimen segera bersidang selepas sesi perbincangan khas Raja-raja Melayu di Istana Negara.

Pada 25 Mei lalu, Sultan Ibrahim bertitah agar semua anggota parlimen dan Adun di Johor mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada penduduk negeri itu.

PH Johor berkata, negeri itu menjadi suri teladan apabila mesyuarat tersebut direalisasikan pada 27 Mei secara atas talian dan dipengerusikan oleh menteri besarnya sendiri.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata parlimen hanya boleh dibuka semula apabila pelan pemulihan negara berkaitan Covid-19 memasuki fasa ketiga.

Peralihan ke fasa ketiga akan dibuat selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.

Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berpendapat parlimen mungkin dibuka semula selewat-lewatnya pada September ini.

Lihat Komen
ADS