Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan Pahang anggar RM20 juta diperlukan untuk pulih Tasik Chini

Kerajaan Pahang menganggarkan RM20 juta diperlukan dalam usaha memulihkan kawasan seluas 600 hektar di Tasik Chini, Pekan yang terjejas teruk akibat aktiviti perlombongan.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM1 juta daripada Kumpulan Wang Pemulihan Lombong Pahang bagi tujuan itu yang dijangka bermula Ogos ini.

Kerajaan negeri juga akan menyalurkan peruntukan daripada Kumpulan Wang Pembangunan Hutan selain mengalu-alukan jika ada individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu turut serta dalam usaha tersebut.

"Usaha pemulihan akan dilaksanakan secara kolektif antara jabatan dan kerjasama institusi pendidikan serta penyelidikan dalam pelbagai aspek seperti fauna, flora, hidrologi dan bidang berkaitan bagi memastikan matlamat pemulihan hutan dan tapak rizab biosfera yang ditetapkan tercapai.

"Komposisi tanah lombong yang telah terjejas teruk antara cabaran dalam usaha pemulihan. Pelan pemulihan juga dirangka secara total meliputi aspek biodiversiti dan hidrologi," katanya menerusi kenyataan selepas melawat Tasik Chini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy memaklumkan dia telah menulis surat kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk memohon bantuan dalam usaha pemulihan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia itu.

Dia juga menegaskan bahawa usaha pemulihan tasik yang terkenal dengan mitos naga itu telah dimulakan sejak dua tahun lepas dengan tindakan kerajaan negeri mewartakan Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini pada 13 Mac 2019 dan bukan hanya selepas isu itu tular di media sosial kebelakangan ini.

Katanya lagi, Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) juga telah memulakan proses pemulihan secara berperingkat dengan menanam tanaman bersesuaian sama ada spesies buluh, tanaman tutup bumi dan spesies komersial tinggi seperti pokok merawan siput jantan dan pokok meranti temak nipis.

"Masyarakat Orang Asli di Tasik Chini juga akan diberi peluang dalam usaha pemulihan menerusi penghasilan anak pokok hutan atau buluh bersesuaian dan JPNP akan mengeluarkan peruntukan bagi membina tapak semaian untuk mereka," katanya.

Wan Rosdy optimis usaha pemulihan Tasik Chini boleh dilakukan mengambil kira kejayaan memulihkan Sungai Ichat di Cameron Highlands yang kini berada di kelas 1 selepas bertahun-tahun tercemar akibat pencerobohan tanah secara haram bagi tujuan pertanian.

-Bernama

Lihat Komen
ADS