Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada kenaikan tarif elektrik bagi tahun ini, kekal 39.45 sen/kWj
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 11:15 AM
Dikemaskini: 5:29 AM

Tiada kenaikan tarif asas elektrik bagi tempoh 1 Julai sehingga 31 Dis depan setelah kerajaan bersetuju membiayai pemberian rebat sebanyak dua sen/kWj melibatkan peruntukan RM493 juta.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pemberian rebat melalui peruntukan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) itu menjadikan tarif asas elektrik kekal pada kadar 39.45 sen/kWj dan dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat tersebut.

Beliau berkata selaras dengan pelaksanaan mekanisme penetapan tarif elektrik di Semenanjung yang dilaksanakan sejak 2014, pelarasan kos penjanaan elektrik perlu dilaksana setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2021, kos ICPT perlu diselaraskan berjumlah RM638.98 juta.

“Peningkatan kos ICPT berlaku berikutan peningkatan kos pembekalan gas dan arang batu bagi tempoh Januari hingga Jun 2021. Ini bermakna kadar rebat elektrik yang boleh dilepaskan kepada pengguna ialah sebanyak 1.13 sen/kWj berbanding kadar rebat bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu dua sen/kWj.

“Mengambil kira cabaran dan kesukaran dihadapi rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19, kerajaan bersetuju membiayai pemberian rebat tambahan 0.87 sen/kWj agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik dan mengekalkan sebagaimana sekarang,” katanya pada sidang media secara maya mengenai tarif elektrik hari ini.

Beliau berkata pemberian rebat tambahan itu membolehkan semua pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) menikmati purata diskaun sebanyak lima peratus bagi tempoh tersebut (1 Jul hingga 31 Dis 2021).

Shamsul Anuar berkata bagi pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn. Bhd, kerajaan juga bersetuju untuk memberi rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2021.

“Ini kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Incentive-Based Regulations dilaksanakan pada 2017.

“Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020," katanya.

Shamsul Anuar berkata kerajaan juga bersetuju memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah dan perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, beliau berkata golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.

“Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182. Bagaimanapun, hanya 113,745 atau 40.31 peratus daripada KIR yang layak telah mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.

“Oleh itu, saya menyeru agar mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS