Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Moratorium 6 bulan tak kira B40, M40, T20
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 5:57 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Moratorium selama enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu dan usahawan mikro untuk pinjaman bank, tanpa mengira kelas masyarakat.

Permohonan boleh dibuat bermula 7 Julai nanti.

Tiada lagi syarat pengurangan pendapatan, semakan kehilangan pekerjaan atau dokumentasi perlu dikemukakan, sebaliknya, pemohon hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman berkaitan.

“Sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa semasa mengumumkan bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, kemudahan moratorium adalah tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

Penangguhan bayaran pinjaman PTPTN

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran agensi kerajaan iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Nilai keseluruhan inisiatif itu dianggarkan berjumlah RM400 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta orang.

Ia melibatkan moratorium tiga bulan kepada peminjam PTPTN (secara bersasar), PTPK, dan Mara (atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran serendah RM100 sebulan selama 12 bulan).

Moratorium untuk JPA pula adalah sehingga enam bulan, untuk Pinjaman Pelajaran Persekutuan dan Biasiswa Persekutuan.

Selain itu, pemegang polisi insurans dan takaful juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara pilihan) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Ia melibatkan pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga. 

 

Lihat Komen
ADS