Najib tegah pembentangan terbuka hasil kajian isu-isu sensitif
Datuk Seri Najib Tun Razak mahu laporan mengenai isu-isu sensitif termasuk pemilikan ekuiti bumiputra diserahkan kepada kerajaan dan tidak diumumkan secara terbuka kerana ia boleh mengundang implikasi besar.
Datuk Seri Najib Tun Razak mahu laporan mengenai isu-isu sensitif termasuk pemilikan ekuiti bumiputra diserahkan kepada kerajaan dan tidak diumumkan secara terbuka kerana ia boleh mengundang implikasi besar.
"Kita tidak mahu sebarang perkara yang dilakukan oleh sesiapa menimbulkan perbalahan. Mungkin pada peringkat mulanya perbalahan itu boleh dilihat sebagai satu perbincangan intelektual tetapi kalau menyentuh soal-soal yang agak sensitif ianya boleh menyinggung perasaan kaum-kaum tertentu dan boleh disifatkan sebagai satu hasutan walaupun tidak bertujuan sedemikian," kata Timbalan Perdana Menteri.
Najib berkata kerajaan berharap semua pihak akan mengambil sikap bertanggungjawab berhubung isu itu kerana implikasinya besar.
"Lebih baik jika hasil kajian itu dikemukakan kepada kerajaan daripada diumumkan kepada umum," katanyakepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan di ibunegara.
Menurut laporan Bernama, beliau mengulas satu kajian yang dilakukan oleh Institut Kajian Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) yang mengatakan pemilikan Bumiputera dalam ekonomi negara telah mencapai 45 peratus, lebih daripada angka yang dikeluarkan kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi.
Najib juga berharap tidak ada sesiapapun mempertikaikan data rasmi kerajaan berhubung dengan pemilikan ekuiti Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.
"Bagi pihak kerajaan kita akan tetap mempertahankan data rasmi kerajaan berhubung dengan ekuiti Bumiputera dan bukan Bumi. Kita harap perkara ini dapat diterima dan tidak dipertikaikan oleh sesiapa."
"Kita sudah terangkan perkara ini melalui kenyataan terbuka tentang asas perkiraan yang dibuat oleh EPU selama ini dan pihak-pihak tertentu pun memahami asas yang digunakan oleh EPU.
Selasa lepas, Asli memohon maaf berhubung laporan itu. Presidennya Mirzan Mahathir menjelaskan bahawa kajian Asli itu menggunakan andaian yang salah yang akhirnya menghasilkan kesimpulan yang tidak tepat.
Letak jawatan
Semalam, pengarah Pusat Pengajian Polisi Awam ASLI Dr Lim Teck Ghee, yang mengetuai kajian itu, mengumumkan peletakan jawatannya dan mempertahankan hasil kajian itu.
Bercakap mengenai perkara lain, Timbalan Perdana Menteri melahirkan rasa sedih dengan kematian seorang budak lelaki berusia tiga tahun akibat dirempuh motosikal dari kumpulan "Mat Rempit" yang berlumba di Jalan Sultan di Kota Baharu, Kelantan, semalam.
Kanak-kanak itu, Muhammad Aufal Khallah Mohd Saberi, yang dikatakan terpelanting ketika dilanggar pada 6.45 petang Isnin lalu, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 4.30 petang hari berikutnya akibat pendarahan otak.
"Kerajaan kesal berlakunya kemalangan yang melibatkan seorang kanak-kanak kecil malah sebarang kemalangan memang dikesali. Dan hasrat kerajaan ialah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara keseluruhanya.
"Kita ingin melihat perlumbaan cara Mat Rempit itu dibanteras dan penguatkuasaan secara berterusan dilakukan.
"Dalam pada itu kita berharap usaha untuk mendekati Mat Rempit, khususnya yang dibuat oleh Putera Umno, dapat menukar sikap mereka supaya mereka dapat menyumbang bakti kepada negara," kata Najib.

