Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,000 kes bunuh diri dari 2019 hingga Mei lalu, kebanyakan 15-18 tahun
Diterbitkan:  Jul 1, 2021 1:48 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Lebih dari 1,000 kes bunuh diri dicatatkan sejak tahun 2019 sehingga Mei tahun ini yang kebanyakannya melibatkan mangsa yang berusia 15 hingga 18 tahun, iaitu seramai 872 orang.

Berdasarkan makluman statistik bunuh diri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Johor mencatatkan kes tertinggi pada tahun 2019 dan 2020 dengan 101 kes.

Dari Januari hingga Mei tahun ini, Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 117 kes.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Abd Jalil Hassan jumlah keseluruhan sepanjang tempoh 2019 hingga Mei tahun ini menjadikan secara purata dua kes bunuh diri setiap hari.

Pada 2019 ia mencatatkan 609 kes, pada 2020 dengan 631 kes dan dari Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 468 kes.

Statistik juga mencatatkan bahawa majoriti mangsa merupakan wanita (1,427) manakala 281 adalah lelaki.

“Kebanyakan mangsa yang terlibat adalah berumur 15 hingga 18 tahun iaitu berjumlah 872 orang dan mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang,” kata Abd Jalil dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tiga punca utama menyebabkan insiden bunuh diri merupakan masalah keluarga, tekanan perasaan dan masalah kewangan.

“Berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini.

“Individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya haruslah diberi bantuan serta sokongan daripada pihak keluarga dan rakan-rakan terdekat,” katanya.

Sekiranya anda merasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi pihak di bawah untuk mendapatkan bantuan dan sokongan:

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

- Talian Hotline: 03-77855955 atau 7781 0800

The Befrienders (https://www.befrienders.org.my/)

- Talian Hotline: 03-79568144 atau 03-79568145

Life Line Association Malaysia

- Talian Hotline: 03-42657995

Lihat Komen
ADS