Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH gesa bantuan bulanan buat golongan B60 sehingga 'lockdown' tamat
Diterbitkan:  Jul 2, 2021 2:45 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

PH menggesa kerajaan memberikan bantuan kewangan secara bulanan kepada isi rumah "B60" sepanjang penguatkuasaan kuncitara (lockdown), yang telah dilanjutkan baru-baru ini.

"Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH setuju dengan cadangan ketua pembangkang Anwar Ibrahim agar kumpulan isi rumah B60 (kategori B40 dan kumpulan terendah dalam M40) sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan sehingga kuncitara tamat.

"Kami sebulat suara menyatakan sokongan terhadap cadangan dan saranan yang dikemukakan Anwar bahawa bantuan bulanan perlu diberikan kepada golongan B60 berjumlah RM 1,500.00 sebulan untuk setiap keluarga sepanjang tempoh lockdown ini.

"Jawatankuasa ini mencadangkan agar peruntukan tambahan sebanyak RM 1,000 diberikan kepada setiap isi rumah daripada golongan M20 sepanjang tempoh lockdown ini berjalan," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan semalam.

Memetik laporan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia, jawatankuasa itu berkata kuncitara telah menyebabkan pengurangan pendapatan dan seterusnya melebarkan lagi jurang pendapatan di kalangan rakyat, dengan sebahagian daripada golongan M40 kini termasuk dalam kategori B40.

Kenyataan itu ditandatangani Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang), Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat), Chong Chieng Jen (DAP-Stampin), Natrah Ismail (PKR-Sekijang), N Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu), Cha Kee Chin (DAP-Rasah) serta Adun Norhayati Bachok (Amanah-Maharani) dan Asmirul Anuar Aris (Amanah-Kubang Rotan).

Jawatankuasa itu juga berkata moratorium pinjaman bank sepatutnya diberikan tanpa sebarang faedah kepada semua golongan.

"Kementerian kewangan dan institusi perbankan perlu sedar bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Pada Selasa lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata moratorium yang diumumkan kerajaan bukan tanpa faedah.

Bagaimanapun, kata Zafrul, dia telah meminta bank untuk tidak mengenakan faedah berganda (compounded interest) atau caj denda lewat bayar ke atas pelanggan yang mengambilnya.

Lihat Komen
ADS