Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAC akan bersidang semula 26 Julai
Diterbitkan:  Jul 2, 2021 5:17 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan bersidang semula pada 26 Julai selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, ia juga selaras titah baginda yang mahukan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen bersidang bagi menjalankan fungsi mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

Katanya, surat pemakluman tarikh mesyuarat PAC sudah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun hari ini.

"Mesyuarat ini, akan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli-ahli PAC serta ahli-ahli ex officio jawatankuasa ini bagi membincangkan mengenai jadual mesyuarat PAC yang akan datang terutama sekali membabitkan kes-kes yang tertangguh sebelum ini, serta mengemaskini jadual mesyuarat.

"Bagaimanapun, Jawatankuasa ini terbuka untuk mengadakan mesyuarat ini secara hibrid sekiranya tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis- Majlis Dewan Rakyat," katanya.

Untuk rekod, PAC yang mempunyai kuasa untuk meneliti kedudukan kewangan kerajaan akan bersidang lima hari sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos.

Langkah ini berpotensi melanggar Seksyen 14 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang menetapkan bahawa parlimen ditangguhkan sehingga darurat tamat.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan, Wong berkata dia wajib mematuhi titah Agong, tanpa mengambil kira Seksyen 14 (1).

"Sekarang, tanggungjawab perdana menteri untuk menetapkan tarikh Dewan Rakyat bersidang semula dan dengan itu memberikan kepastian," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memutuskan akan memanggil sidang parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Katanya, perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada Rabu depan.

Agong sebelum ini menitahkan agar parlimen bersidang "secepat mungkin" bagi membolehkan anggota parlimen membahaskan pengisytiharan dan ordinan darurat. 

Baginda juga telah menintahkan agar Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen mesti bermesyuarat untuk melaksanakan mekanisme semak dan imbang.

Lihat Komen
ADS