Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan gagal tangani isu pemerdagangan manusia, kata kumpulan hak asasi
Diterbitkan:  Jul 4, 2021 10:25 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Kumpulan hak asasi manusia Hakam (Persatuan Hak Asasi Manusia) menyatakan kebimbangannya berhubung ranking Malaysia yang telah turun ke Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Tahap 3 merupakan tahap yang paling rendah dalam Laporan TIP, dan aktiviti buruh paksa telah dikenal pasti sebagai bentuk jenayah utama yang berkaitan dengan penurunan tersebut di Malaysia, menurut Pemangku Pengarah Pejabat untuk Memantau dan Membanteras Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara AS, Kari Johnstone.

“Kerajaan Malaysia harus bertanggungjawab atas kegagalan memerangi dan menghapuskan amalan pemerdagangan manusia, yang merupakan antara jenayah yang zalim,” kata timbalan presiden Hakam, M Ramachelvam dalam satu kenyataan hari ini.

“Laporan TIP 2021 menunjukkan kegagalan pihak berkuasa untuk mengenal pasti mangsa secara proaktif, penyelarasan antara agensi yang tidak mencukupi, perkhidmatan mangsa yang tidak mencukupi, rasuah dan keterlibatan pegawai yang memudahkan aktiviti pemerdagangan dan menghalang usaha anti-pemerdagangan manusia,” katanya.

Dia menggesa supaya kerajaan memperbaharui pendekatannya berbanding sedia ada dalam menerapkan sistem yang efisyen dan efektif untuk memerangi dan menghapuskan pemerdagangan manusia.

“Kerajaan harus menerapkan kerangka undang-undang dan pentadbiran yang sesuai untuk migran termasuk mereka yang tanpa dokumen, mereka yang tanpa kewarganegaraan, pelarian dan pencari suaka untuk memastikan hak mereka dilindungi dengan baik; dan tidak terdedah terhadap aktiviti pemerdagangan manusia.

"Ia mesti dimaklumkan secara umum dan melaksanakan saranan yang dibuat oleh Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing (2019),” tambahnya.

Dia juga menggesa kerajaan untuk menangani pemaksaan berdasarkan hutang yang melibatkan bayaran yang membebankan dalam pengambilan bekerja, di mana ia telah dikenalpasti sebagai isu utama dalam laporan tersebut.

Dalam mengenal pasti buruh paksa sebagai jenayah pemerdagangan manusia yang dominan di Malaysia, laporan TIP 2021 menyatakan bahawa "Sebilangan besar mangsa adalah antara kira-kira dua juta pekerja dengan dokumen dan jumlah yang lebih besar bagi pekerja tanpa dokumen di Malaysia".

Johnstone berkata unsur-unsur kerja paksa terdapat di sektor-sektor di perladangan kelapa sawit dan pertanian, pembinaan, dan pembuatan.

Lihat Komen
ADS