Klinik swasta lancar bank makanan 24 jam
Sebuah klinik swasta di Rawang melancarkan bank makanan 24 jam bagi menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada penduduk di sekitarnya.
Pengasas klinik SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata ia merupakan projek komuniti bagi membantu golongan yang terkesan akibat dampak wabak Covid-19.
"Kami melancarkan bank makanan ini bersebelahan klinik kami di Rawang Mutiara yang dibuka 24 jam.
"Kepada sesiapa yang memerlukan, mereka boleh datang ke sini dan mengambil barang keperluan tanpa sebarang syarat. Mereka tidak perlu tunjuk Mykad atau daftar nama," katanya kepada Malaysiakini.
Pada masa sama, Prakash memberi peringatan agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengambil barangan yang disediakan tanpa memikirkan orang lain yang benar-benar memerlukan.
"Mereka akan diperhatikan melalui kamera litar tertutup (CCTV), jadi kami jadi mohon agar semua lebih bertimbang. Ambil apa yang perlu agar orang lain yang memerlukan dan terkesan turut mendapat manfaat," katanya lagi.
Antara makanan asas yang disediakan ialah beras, minyak masak, sardin, susu tepung bayi, telur, gula, garam, kicap, kaya, mi segera, bihun, susu tin, milo dan biskut kering.
Keperluan asas seperti sabun mandi, sabun basuh, ubat gigi dan berus gigi juga disediakan.
Selain bank makanan tersebut, Prakash berkata pihaknya turut menyediakan bantuan bakul makanan di tiga cawangan klinik lain.
"Kepada sesiapa yang memerlukan bantuan bakul makanan, anda hanya menguhubungi cawangan kami, dan bantuannya akan dihantar ke rumah anda," katanya lagi.

