Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA MP | Usah jadikan bantuan rakyat talian hayat politik PM, PN

KATA MP | Kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, yang mendakwa kononnya wujud perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) di antara DAP dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan Muhyiddin Yassin kekal sebagai perdana menteri melalui pemberian peruntukan RM300,000 bantuan bakul makanan adalah tidak benar sama sekali.

Ia juga tidak masuk akal, malah memperlekehkan usaha ahli parlimen dalam membantu rakyat yang sedang susah.

Mungkin ahli-ahli Parlimen Umno yang melanggar arahan parti dengan terus menyokong Muhyiddin sebenarnya sedang membuat perjanjian dengan perdana menteri.

Hanya mereka sahaja yang masih mahu menyokong perdana menteri yang gagal. Jangan pula heret DAP ke dalam pergolakan politik PN dan Umno.

Saya dan ahli parlimen lain daripada DAP sejak awal lagi berusaha memberi bantuan kepada rakyat sama ada dengan duit poket sendiri atau dana yang disumbang orang awam.

Sejak bermulanya kuncitara (total lockdown) pada 1 Jun lalu, sebelum menerima peruntukan RM300,000 daripada kerajaan persekutuan, saya sudah mengagihkan lebih 1,500 set bantuan makanan kepada penduduk Bukit Mertajam.

Dalam tahun ini sahaja, tanpa peruntukan kerajaan persekutuan - dan dengan sokongan orang ramai - saya juga telah mengedarkan 600 komputer riba dan tablet, bantuan internet percuma, tuisyen percuma, bantuan tunai bulanan kepada pelajar sekolah, khidmat pengangkutan teksi percuma ke pusat pemberian vaksin (PPV) dan pelbagai bantuan lain kepada penduduk Bukit Mertajam.

Peruntukan RM300,000 merupakan hak rakyat yang sepatutnya diberikan lebih awal lagi. Malah setiap ahli parlimen patut diberikan peruntukan RM4 juta setahun sebagaimana yang diterima oleh ahli parlimen blok kerajaan.

Kegagalan berbuat demikian merupakan antara kegagalan besar kerajaan PN mengembleng usaha keseluruhan masyarakat (whole-of-society) untuk melawan pandemik Covid-19 dan mengurus kebajikan rakyat ketika penutupan sektor ekonomi.

Kempen bendera putih oleh rakyat yang terpaksa mencari bantuan sendiri jelas membuktikan kegagalan kerajaan sedia ada, walaupun cuba diperlekeh oleh para menteri.

Jangan memperalatkan bantuan kepada rakyat melalui peruntukan kawasan parlimen untuk jual beli talian hayat politik perdana menteri dan kerajaan PN.


Steven Sim ialah ahli parlimen Bukit Mertajam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS