Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan perlu fokus semua jawatan berstatus kontrak, kata Cuepacs
Diterbitkan:  Jul 15, 2021 3:16 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada pegawai kesihatan sahaja dalam soal kakitangan berstatus kontrak dalam Kementerian Kesihatan (KKM).

Presidennya Adnan Mat berkata, terdapat puluhan ribu lagi perjawatan dalam KKM dan juga kementerian lain yang juga berstatus kontrak dan menunggu masa untuk penamatan khidmat.

“Di KKM sendiri selain pegawai kesihatan berstatus kontrak, terdapat perjawatan lain yang kritikal dan masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan.

“Mereka ini juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu doktor kontrak mengundang perhatian di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19 di negara ini dengan kumpulan itu menggesa kerajaan memberikan jawatan tetap buat mereka.

Dua kempen berasingan digerakkan iaitu Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dirancang pada 26 Julai ini serta kempen Code Black yang dilakukan secara dalam talian.

Pada 12 Julai lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kabinet akan membuat keputusan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Adnan berkata penambahan jawatan doktor juga perlu mengambil kira penambahan jawatan lain seperti jururawat dan penolong pegawai perubatan, yang penting bagi keseimbangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.

Katanya lagi, faktor kos serta kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sepatutnya tidak menghalang usaha menyerap semua kakitangan terlibat kepada status tetap kerana ia adalahkeperluan pada masa kini dan akan datang.

“ketika ini masih banyak kawasan yang berlaku kekurangan fasiliti kesihatan serta kakitangan yang terlibat untuk memastikan operasi fasiliti kesihatan tersebut lancar.

“Begitu juga dengan kakitangan berstatus kontrak di lain-lain kementerian yang hanya menunggu masa untuk ditamatkan kontrak mereka ketika negara berhadapan dengan situasi pandemik," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS