Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menggesa kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri berhubung rancangan untuk memastikan setiap individu dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam mengumumkan Ong sebagai penyelaras di Selangor bagi meningkatkan vaksinasi.

Ong mengucapkan penghargaan kepada Khairy berhubung penubuhan OSC dan berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kerana memberinya peluang menyelaras peningkatan vaksinasi di Selangor.

"Kita mesti bekerjasama dengan erat dan mengetepikan politik agar OSC dapat berfungsi sehingga boleh menurunkan jumlah kes harian Covid-19 dan yang lebih penting lagi, mereka yang mempunyai kes Covid-19 yang serius dan perlu dimasukkan ke hospital serta dimasukkan ke unit rawatan rapi, "katanya dalam satu kenyataan.

Setakat 13 Julai, seramai 3.1 juta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 1.7 juta lagi dijangka menerima vaksin pada 26 Julai.

Seramai 1.3 juta lagi penduduk dijangka menerima vaksin antara 26 Julai dan 1 Ogos.

"Ini bermaksud kapasiti harian di Lembah Klang harus ditingkatkan daripada 180,000 dos harian pada masa ini (14-18 Julai) kepada 210,000 dos harian (19-25 Julai) dan kemudian sekurang-kurangnya 272,000 dos harian dari 26 Julai hingga 1 Ogos.

"Ini memerlukan peningkatan dos harian yang diurus oleh pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), di lima pusat yang sudah beroperasi di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) bagi Industri dan di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di Selangor dan KL pada masa ini.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Selcare (yang menjalankan program Industri Selvax) mesti berkoordinasi untuk meminimumkan jumlah pertindihan antara syarikat yang ingin pekerja mereka divaksinasi semasa OSC.

"Perlu ada komunikasi yang jelas oleh Miti dan Selcare untuk syarikat yang telah mendaftar untuk kedua-dua program (Selvax dan Pikas) dan mereka yang belum mendaftar untuk sebarang program," katanya.

[Baca berita penuh]