Bagi kumpulan masyarakat Orang Penan di Sarawak, usaha untuk membebaskan diri daripada masalah kemiskinan perlu bermula dengan perkara yang asas iaitu perjuangan mendapatkan status kewarganegaraan.

Menetap di daerah pedalaman, kaum ini menghadapi pelbagai masalah untuk mendaftarkan kewarganegaraan dan menghadapi kekangan undang-undang untuk berbuat demikian, kata kumpulan yang memperjuangkan hak orang Penan.

Simon Siah dari NGO LK4C berkata, halangan undang-undang paling utama dalam situasi itu adalah syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan menyatakan bahawa jika sesuatu perkahwinan tidak didaftarkan, maka kewarganegaraan adalah mengikut ibu.

"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafsirkannya dengan tegas walaupun setelah ibu bapa berkahwin dan tinggal di Malaysia, JPN masih enggan menganggap anak itu sebagai warganegara Malaysia.

"Dalam kebanyakan kes, anak-anak yang memohon kewarganegaraan akan memohon di bawah Artikel 15A dan ini ditolak berkali-kali tanpa jaminan bahawa (permohonan) mereka akan diluluskan," kata Siah.

Di bawah Artikel ini, kerajaan persekutuan boleh mendaftarkan seseorang yang berumur di bawah 21 tahun sebagai warganegara, dalam keadaan khas, hanya jika difikirkan sesuai.

Siah berkata, permohonan sedemikian mesti dibuat oleh ibu bapa atau penjaga yang mempunyai pertalian darah dengan individu yang akan didaftarkan.

Namun, katanya, berdasarkan pengalamannya, pegawai JPN sering menolak pemohon seperti itu jika mereka berasal dari keluarga berpendapatan rendah atau buta huruf atau dengan mendakwa permohonan itu tidak lengkap.

Siah menambah permohonan yang ditolak adalah perkara biasa tanpa ada alasan yang diberikan. Oleh itu, pemohon perlu melalui proses yang sama untuk membuat permohonan lain berkali-kali.

Alasan pasukan petugas khas ini, yang diketuai oleh menteri di Sarawak Fatimah Abdullah boleh digunapakai kerana mereka yang memeriksa dan membuat cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri, katanya.

Pasukan petugas yang ditubuhkan pada tahun 2016 ini adalah bagi membantu proses permohonan kewarganegaraan bagi mereka yang berusia di bawah 21 tahun.

Sebanyak 717 permohonan diterima sehingga Julai 2019, tetapi jumlah yang diluluskan tidak dimaklumkan kepada umum.

Pasukan petugas ini, yang ditangguhkan selepas berlaku perubahan kerajaan persekutuan sebanyak dua kali, dilaporkan diaktifkan semula pada April tahun ini tetapi masih belum ada sebarang perkembangan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Parlimen Disember lalu berkata individu yang tidak mempunyai kad pengenalan diberi tempoh satu tahun untuk mengemukakan dokumen yang sah bagi membolehkan mereka memperolehi kewarganegaraan.

Pun begitu, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian yang mengendalikan banyak kes individu tanpa kewarganegaraan sejak 2013, mendesak kerajaan tidak mengehadkan tempoh permohonan selama setahun memandangkan isu komunikasi dan pengangkutan masih menjadi masalah utama di daerah pedalaman di Sarawak.

"Pengangkutan dan perjalanan masih sukar di daerah pedalaman dan kelahiran yang didaftarkan dengan kerajaan adalah mustahil bagi kebanyakan orang.

"Ini menyebabkan anak dan cucu mereka dilabel sebagai bukan warganegara Malaysia kerana ibu bapa atau datuk dan nenek mereka tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan," kata Baru.

Malaysia menandatangani Konvensyen Hak-Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (CRC).

Artikel 7 CRC menyatakan seseorang anak harus didaftarkan segera setelah lahir dan berhak memperoleh kewarganegaraan tetapi Malaysia dilihat tidak menerapkan klausa ini.

Mengambil kira pengalaman sebelum ini, hanya dengan membuat permohonan dan memiliki dokumen yang tepat bukan jaminan untuk mendapat hak kewarganegaraan.

“Malaysia telah membuat banyak kemajuan dalam melindungi anak-anak kerana kita menandatangani Konvensyen Hak untuk Kanak-kanak. Kita sekarang mempunyai Akta Kanak-kanak 2001 dan undang-undang lain yang melindungi kanak-kanak.

"Tetapi kami berpendapat bahawa Artikel 7 masih belum dilaksanakan dan kerajaan belum memberikan jawapan yang memuaskan untuk ini," kata Siah.

Oleh itu, dia yakin tiada keperluan untuk menubuhkan pasukan tugas khas, jika Artikel 7 dilaksanakan kerana JPN boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak ini apabil mereka dilahirkan.

Perkara boleh menyelesaikan isu ibu bapa tanpa kewarganegaraan melahirkan anak-anak tanpa kewarganegaraan.

Peguam yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Jasmine Wong bersetuju bahawa tafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi halangan.

Jamsine mewakili seorang remaja kelahiran Sarawak tanpa kerakyatan yang diambil sebagai anak angkat oleh warga Malaysia tetapi dinafikan hak mendapat kewarganegaraan.

Kes itu kini dihadapkan di mahkamah rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengarahkan JPN mengiktiraf remaja tersebut sebagai warganegara.

"Kerajaan mengenakan banyak syarat dan yang paling utama adalah dokumentasi," kata Wong.

Oleh itu, katanya, salah satu jalan keluar bagi menyelesaikan isu ini adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengiktiraf hak anak  mendapatkan kewarganegaraan asalkan salah seorang ibu bapa adalah warganegara Malaysia, tanpa mengira status perkahwinan ibu bapa, dan tidak membeza-bezakan ibu bapa angkat dan ibu bapa kandung.

Laporan semalam: Ratusan Pribumi di Sarawak tiada kerakyatan


Artikel ini ditulis sebagai sebahagian daripada program Kewartawanan Penyiasatan Kiniacademy. Untuk lebih banyak laporan seperti ini, lawati laman web Kiniacademy FIJIasia.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini