Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman 1MDB: MP gesa k'jaan tak lagi guna khidmat KPMG
Diterbitkan:  Jul 19, 2021 12:28 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menggesa kerajaan menghentikan khidmat KPMG Malaysia sebagai juruaudit dalam mana-mana syarikat, di mana kerajaan memiliki kawalan menerusi pegangan saham.

Ia selepas kerajaan memfailkan saman berjumlah AS$5.64 bilion terhadap 44 rakan kongsi KPMG berhubung peranan syarikat itu dalam mengaudit dan memperakui penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan 2010 hingga 2012.

Pua berkata, KPMG juga perlu dilarang daripada menyertai tender kerajaan sehinggalah saman itu selesai.

Katanya, ini kerana KPMG jelas enggan akur kepada tuntutan kerajaan, tidak seperti satu lagi syarikat audit, Deloitte yang setuju untuk membayar pampasan berjumlah RM324 juta.

"Kegagalan juruaudit untuk mengamalkan profesionalisme dalam tugasnya untuk melindungi rakyat Malaysia yang membayar cukai adalah perkara yang sangat serius.

"Teladan mesti ditunjukkan bagi memastikan tiada lagi juruaudit kepada entiti kerajaan akan berkelakuan sama, yang telah terlibat menjadikan Malaysia sebagai kleptokrasi terbesar di dunia dengan skandal 1MDB," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap 44 rakan kongsi KPMG.

Dalam saman itu, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), 1MDB dan lima lagi plaintif mendakwa syarikat itu gagal memberikan pandangan yang betul dan saksama berkenaan hal ehwal kewangan syarikat itu, serta gagal membangkitkan penyelewengan dananya.

Pecahan jumlah saman AS$5.64 bilion itu adalah seperti berikut: AS$1.83 billion yang didakwa diselewengkan daripada usaha sama 1MDB dengan Petrosaudi International; AS$1.367 bilion yang didakwa disalurkan kepada Aabar British Virgin Islands sebagai deposit; AS$1.59 bilion yang didakwa diselewengkan daripada perolehan bon 1MDB Global Investment Ltd; dan AS$856,317 juta yang didakwa diselewengkan daripada dua pinjaman (syndicated term loan) yang diraih oleh 1MDB Energy Holdings Ltd kepada Aabar BVI dan Aabar Seychelles.

Saman itu difailkan susulan rundingan yang berlanjutan dengan KPMG untuk mencapai penyelesaian dan mendapatkan semula dana yang hilang.

KPMG telah menafikan dakwaan yang terkandung dalam saman itu dan berkata pihaknya akan mencabarnya di mahkamah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS