BERITA Malaysiakini

Wanita PKR dakwa 70% pusat belibelah tidak selamat bagi wanita

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pergerakan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kira-kira 70 peratus pusat membeli-belah di Malaysia tidak selamat bagi wanita.

Malah, Ketuanya, Fuziah Salleh mendakwa mereka turut terdedah kepada peragut, didera dan diserang secara seksual, dirogol, malah dibunuh.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, insiden keganasan terhadap wanita, mendedahkan ketidakmampuan agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya melindungi warganegara, khususnya wanita.

Katanya, kadar jenayah yang kian meningkat, kenaikan sebanyak 11.3 peratus bagi tujuh bulan pertama berbanding tahun lalu, memberi gambaran palsu tentang pembangunan, apabila warganya, terutama wanita, tidak rasa selamat berjalan di mana-mana jua di negara ini.

Menurutnya, keganasan rumahtangga, rogol dan penderaan seksual terus berlaku dan kerajaan telah gagal menangani permasalahan sosial secara holistik.

"Undang-undang yang sedia ada kurang melindungi wanita dari segi penderaan emosi dan psikologi," katanya.

Industri seks

Dalam dimensi lain pula, tambahnya, perdagangan manusia dilaporkan berlaku di dalam dan di seberang sempadan yang telah menghidupkan industri seks.

"Perkara tersebut telah membawa bersamanya pelbagai masalah sosial, kesihatan dan masalah nasional.

"Perdagangan wanita telah membuatkan wanita seperti barangan dan objek nafsu, yang merupakan manifestasi perhambaan zaman moden," tegas Fauziah lagi.

Tegasnya, mereka yang mempromosi perdagangan tersebut tidak disangkal lagi merupakan 'pemusnah maruah dan tamaddun manusia'.

Fauziah mendakwa, sistem yang dijana telah gagal melindungi wanita di Malaysia secara keseluruhan, yang tidak peka dan lemahnya penguatkuasaan, mengakibatkan hilangnya nyawa ramai wanita.

"Wanita Keadilan melihat ini sebagai isu-isu serius yang menuntut tindakan serta-merta oleh kerajaan, khususnya Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat," tegasnya.

Sehubungan itu, tegasnya, kongres PKR September lalu turut meluluskan dua resolusi yang menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.