Malaysiakini
BERITA

Petugas kesihatan maut disyaki keracunan karbon monoksida ambulans

Bernama

Diterbitkan

Seorang petugas Klinik Kesihatan (KK) Bukit Pelanduk di Port Dickson, meninggal dunia manakala tiga lagi tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida di dalam ambulans dinaiki mereka pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 9.50 pagi.

“Siasatan awal Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) mendapati tiada kebocoran di kawasan klinik selain paras oksigen dalam bangunan adalah normal.

“Maklumat awal mendapati empat mangsa tersebut telah pengsan dalam ambulans berkenaan,” katanya kepada pemberita di Port Dickson, hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit HAZMAT JBPM Negeri Sembilan TPgB II Mohammad Idris berkata mangsa yang meninggal dunia itu pada awalnya mengadu sakit dada dan kemudian pengsan di kawasan klinik berkenaan sebelum tiga rakannya mengangkatnya memasuki ambulans untuk dihantar ke Hospital Port Dickson.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital berkenaan, apabila pintu belakang ambulans dibuka, tiga orang petugas kesihatan itu yang berada bersama mangsa didapati turut tidak sedarkan diri, manakala mangsa berumur 29 tahun itu telah meninggal dunia,” katanya.

Mohammad berkata punca kematian mangsa hanya dapat dipastikan setelah selesai proses bedah siasat.

Katanya, pemandu dan seorang kakitangan yang berada di bahagian hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala ketiga-tiga mangsa yang pengsan kini berada dalam keadaan stabil dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Menurutnya, semalam seorang petugas kesihatan turut pengsan ketika menaiki ambulans yang sama namun keadaannya dilaporkan stabil.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.