Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kementerian kekalkan keputusan larangan kapal asing di Pelabuhan Labuan
Diterbitkan:  Jul 23, 2021 9:37 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

NOTA EDITOR: Laporan ini telah dikemas kini dengan kenyataan Kementerian Wilayah Persekutuan.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara berkata bahawa kerajaan mengekalkan keputusan untuk menangguhkan permohonan semua aktiviti kapal dagang asing.

Katanya, ini selepas mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMCWP) yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa hari ini.

"Pada hari ini, kita telah memutuskan untuk mengekalkan keputusan mesyuarat CCMC-WP pada 16 Julai 2021 untuk menangguhkan permohonan semua aktiviti kapal dagang asing sehingga peralihan Wilayah Persekutuan Labuan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambilkira situasi Covid-19 di Labuan masih lagi di peringkat pemulihan dan baharu sahaja ke arah pemulihan Fasa 2 setelah Labuan berdepan dengan situasi sangat sukar susulan serangan varian Delta baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata susulan kenyataan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, P Kamalanathan bahawa pelabuhan itu akan dibuka semula kepada kapal asing dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan, P Kamalanathan menyatakan bahawa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah berhubung dengan Annuar untuk memaklumkan implikasi keputusan tersebut yang membolehkan Pelabuhan Labuan beroperasi dengan SOP yang telah ditetapkan.

Jelasnya, ini kerana industri perkapalan merupakan perkhidmatan penting.

Bagaimanapun, Edmund berkata bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Kamalanathan sebagai tidak tepat.

"Untuk memastikan Labuan berjaya ke Fasa 2 PPN (Pelan Pemulihan Negara), mesyuarat juga telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan untuk memperketatkan kawalan Covid-19 sedia ada termasuk persempadanan untuk memastikan tiada lagi serangan Covid-19 terutama 'variance of concern' lain seperti varian lambda yang boleh menyebabkan Labuan kembali ke situasi sukar seperti sebelum ini.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri sedang menyediakan SOP khas untuk aktiviti perkapalan dan industri minyak sebagai persediaan ke arah Fasa 2 yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Tambahnya, walau bagaimanapun, kemasukkan kapal-kapal tempatan yang membawa barangan keperluan asas rakyat yang tergolong dalam kategori 'essential' adalah dibenarkan.

"Bagi kapal-kapal dagang antarabangsa yang mempunyai keperluan mendesak atas kepentingan negara boleh dipertimbangkan mengikut kes tertentu untuk memasuki Labuan.

"Namun, kapal dagang antarabangsa tersebut perlu mematuhi SOP yang ketat termasuk keperluan memenuhi keperluan 21 hari daripada pelabuhan terakhir sebelum kebenaran berlabuh dipertimbangkan," katanya.

Untuk rekod, pada 16 Julai, Kementerian Wilayah Persekutuan menangguhkan semua kemasukan kapal negara asing serta urusan sign on/sign off (pertukaran anak kapal) melibatkan bukan warganegara.

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat JKPW yang telah dipengerusikan oleh Menterinya Annuar Musa.

Beberapa pemain industri perkapalan menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk campur tangan berhubung larangan tersebut.

Wakilnya, Jeyendran Ramasamy, 46 berkata bahawa keputusan kementerian melarangkan kapal negara asing berlabuh di pelabuhan tersebut akan mengakibatkan kerugian besar kepada negara.

Menurutnya, keputusan mengejut oleh Kementerian Wilayah akan mengakibatkan pemain industri perkapalan negara rugi sehingga AS$40,000 sehari.

Dia berkata keputusan menangguhkan kapal asing akan mengakibatkan, kapal luar negara akan 'berhijrah' ke negara jiran lain.

Lihat Komen
ADS