Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bila joget mula, Rina dah tinggalkan majlis Bersatu itu - Pembantu

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun telah meninggalkan majlis Bersatu yang diadakan di sebuah dewan hotel yang dilihat dalam video viral menunjukkan sekumpulan orang menari, menurut seorang pegawai menteri itu.

Ketika dihubungi, pegawainya berkata Rina, yang juga ketua Wanita Bersatu, telah merasmikan majlis itu tetapi dia sudah tidak ada di sana ketika kumpulan yang dilihat dalam video itu mula berjoget.

"Mungkin sebelum atau sesudah majlis itu. Tapi dia tidak ada ketika perkara itu terjadi.

"Dia tidak terlibat dalam apa jua keadaan pun," kata pembantu itu kepada Malaysiakini.

Pembantu itu juga mengesahkan majlis tersebut diadakan pada bulan April di sebuah dewan ballroom hotel di Glenmarie, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib dipetik Bernama berkata siasatan dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima hari ini setelah video berhubung kejadian itu tular melalui media sosial.

“Pengadu mendakwa kumpulan individu tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal di antara satu sama lain sehingga perkara itu tular menerusi media sosial.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata jika sabit kesalahan, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan ke atas individu manakala RM10,000 ke atas penganjur.

Beliau berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini berkongsi video berdurasi satu minit 35 saat di Facebook tanpa penjelasan bertuliskan "Fuhhhhh!"

Hantaran itu menarik lebih 25,000 komen, yang kebanyakannya marah dan kecewa terhadap pelanggaran prosedur Covid-19 yang jelas ketika rata-rata rakyat Malaysia masih berada di rumah kerana penutupan.

Ramai yang menyorot latar belakang program di atas pentas yang memaparkan gambar Rina dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

Netizen juga menunjukkan beberapa peserta yang tidak menjaga penjarakan fizikal atau memakai pelitup muka.

Jumlah jangkitan baru Covid-19 hari ini meningkat kepada 17,045 paling tinggi sejak tiga hari berturut-turut tertinggi - menjadikan kes terkumpul melepasi sejuta jangkitan.

Lihat Komen
ADS