MyCC siasat 'caj komisen tinggi' oleh syarikat penghantaran makanan
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat aduan "caj komisen tinggi" yang dikenakan syarikat penghantaran makanan dan harga makanan dan minuman dalam platform mereka.
CEO MyCC Iskandar Ismail berkata, pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah bertemu dengan pihak berkepentingan, termasuk pemain industri makanan dan minuman serta runcit, untuk memahami isu yang dibangkitkan mereka.
"Berdasarkan beberapa mesyuarat yang dijalankan, kami telah mengenal pasti beberapa masalah dan cabaran yang berkaitan dengan bukan sahaja isu persaingan, tetapi juga isu kepenggunaan.
"Bagi langkah seterusnya untuk menangani isu ini, kami akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat platform penghantaran makanan.
"MyCC mengambil berat keseriusan isu ini dan sedang melihat situasi ini dari segenap sudut daripada perspektif Akta Persaingan 2010, terutama mengenai perlakuan oleh syarikat platform penghantaran makanan terhadap pemain industri makanan dan minuman, penghantar (riders) dan pengguna sama ada isu ini menimbulkan isu persaingan atau tidak," kata Iskandar dalam kenyataan hari ini.
Perkhidmatan penghantaran makanan lazimnya mengenakan komisen kepada pengusaha makanan dan minuman yang menggunakan platform mereka.
Ia menjadi faktor harga makanan dan minuman yang dijual di platform tersebut dinaikkan, bagi menampung kos yang ditanggung.
Iskandar berkata, MyCC sedang menimbang semua pilihan yang ada, termasuk menggunakan kuasa penguatkuasaan mengikut Akta Persaingan 2012 dan kerjasama dengan KPDNHEP untuk mendapatkan penyelesaian yang menyeluruh.
Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 jelas melarang penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran, kata MyCC.
MyCC berkata mana-mana pihak yang ingin membuat aduan terhadap dakwaan salah laku berkenaan perkara itu boleh melakukannya menerusi emel di complaints@mycc.gov.my atau aplikasi Whatsapp di talian 0192152273.

