mk-logo
Berita
K'jaan tanggung RM1.2 bilion lanjut kontrak 14,000 doktor perubatan, pergigian, farmasi
Diterbitkan:  Jul 26, 2021 11:00 PM
Dikemaskini: 3:06 PM

PARLIMEN | Kerajaan telah bersetuju melanjutkan kontrak kira-kira 14,000 doktor perubatan, pergigian dan pegawai farmasi bagi tempoh dua tahun (atau 7,000 setiap kohort/tahun) yang akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.2 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, ini susulan keputusan kerajaan supaya pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak selama dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta persediaan untuk mengikuti pengajian di peringkat kepakaran.

“Kerajaan sangat prihatin terhadap tuntutan kumpulan petugas kesihatan kontrak itu dan sedar mengenai sumbangan serta peranan mereka sebagai barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya dalam sesi soal jawab mengenai Program Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga telah bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak bagi tempoh maksimum empat tahun untuk kalangan pegawai perubatan dan pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan dapat melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Selain itu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan merangka satu pelan komprehensif dan inklusif yang merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang bagi hala tuju perkhidmatan perubatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS