mk-logo
Berita
'Kerajaan patut perbaiki pusat tahanan, bukan dakwa aktivis'
Diterbitkan:  Jul 27, 2021 9:17 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

Ahli parlimen dan senator dari parti kerajaan serta pembangkang menggesa kerajaan menggugurkan tuduhan terhadap pengasas Refuge for the Refugees, Heidy Quah.

NGO dan penggiat badan sivil juga telah menyatakan solidariti mereka terhadap Quah dan mempersoalkan motif kerajaan di sebalik tindakan undang-undang tersebut.

Quah didakwa pagi ini berhubung catatan Facebook pada Jun 2020 mengenai dakwaan penganiayaan pelarian di pusat tahanan imigresen.

Daripada mengejar aktivis, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia untuk Pembaharuan Penjara dan Semua Tempat Tahanan (APPGM) mendesak pihak berkuasa untuk mengambil maklum keadaan "menyedihkan" di pusat-pusat tahanan tersebut.

“Keadaan menyedihkan di pusat-pusat tahanan Malaysia adalah isu yang didokumentasikan dengan baik dan diketahui umum, yang diketengahkan oleh pelbagai organisasi selama bertahun-tahun.

"Ini adalah masalah yang memerlukan perhatian segera pihak kerajaan sekiranya Malaysia ingin dipandang serius berkaitan dengan hak asasi manusia.

"Sebaliknya, kerajaan sekarang terus mengecewakan dengan aktivis yang didakwa, dalam tindakan intimidasi yang jelas oleh pihak berkuasa, atas kesalahan yang berkaitan dengan pendedahan keadaan yang memalukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, kumpulan itu berharap Putrajaya akan menumpukan perhatian untuk memperbaiki pusat tahanan imigresen yang terlalu sesak untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.

"Menghukum mereka yang bersuara tidak akan menyelesaikan masalah atau menutup kebenaran.

"Kami meminta agar tuduhan terhadap Quah digugurkan dan sebaliknya menggesa usaha alternatif kepada penahanan dan reformasi pusat tahanan yang sekian lama tertunda," katanya.

APPGM dianggotai oleh Ahli Parlimen Umno Pengerang Azalina Othman Said, Ahli Parlimen PBB Batang Lupar Rohani Abdul Karim, senator MIC Vell Paari, Ahli Parlimen Permatang Pauh dari PKR Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Sepanggar dari Warisan Mohd Azis Jamman dan bekas senator DAP Liew Chin Tong.

Kumpulan itu juga dianggotai pakar penyakit berjangkit Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman dan peguam Sangeet Kaur Deo.

Quah sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 233 (1) (a) (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Quah yang berusia 27 tahun itu akan dikenakan denda maksimum RM50,000, penjara satu tahun, atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan yang berasingan, 79 NGO termasuk Asylum Access Malaysia, Carefugees, North South Initiative, Asia Pacific Refugee Rights Network, Yayasan Chow Kit dan Tenaganita juga menuntut tuduhan itu digugurkan.

"Mendakwa Quah untuk hantaran Facebook setahun setelah pertama kali dikongsikan juga menimbulkan pertanyaan tentang niat dan motif kerajaan terhadap seorang aktivis yang organisasinya aktif memberikan makanan dan bantuan asas menyelamatkan nyawa komuniti yang tidak banyak tempat bergantung," kata mereka.

Dalam kenyataan itu, yang juga ditandatangani oleh 67 individu, mereka meminta siasatan yang bebas dan telus mengenai dakwaan penganiayaan di pusat tahanan imigresen.

"Membiarkan bahaya terjadi, terutama bagi yang rentan, adalah kekerasan yang sebenarnya," tegas mereka.

Begitu juga, NGO Center for Combat Corruption and Cronyism (C4) mengecam kerajaan kerana mendakwa Quah yang mengetengahkan kemungkinan pelanggaran hak asasi manusia.

Ia memberi amaran mengenai kesan tindakan tersebut terhadap pemberi maklumat.

“C4 mengecam tindakan ini dan meminta pihak berwajib untuk fokus pada penyiasatan dan penanganan aduan dan masalah yang telah diajukan.

"Justeru, kerajaan seharusnya mendakwa pelaku pelanggaran yang sebenarnya dan bukannya pemberi maklumat kerana membangkitkan masalah ini," katanya.

Lihat Komen
ADS