Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Jangan tunggang sumpah Hipokratik untuk nafi suara doktor kontrak

ULASAN | Isu hartal doktor kontrak adalah krisis berganda yang melibatkan sektor ekonomi dan kesihatan.

Maka, dalam menghadapi dua krisis ini, sikap yang paling tepat yang harus dilakukan oleh kerajaan bukanlah dengan menunggang ayat Sumpah Hipokratik seperti ‘do no harm’ semata-mata.

Sebaliknya, pihak pengurusan dan politikus yang memegang kuasa harus mendengar saranan dan nasihat daripada pakar bidang kesihatan awam dan pakar ekonomi kesihatan. Antara pakar ekonomi kesihatan yang telah memberikan pendapatnya adalah Professor Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, pakar kesihatan awam khususnya dalam bidang ekonomi kesihatan.

Ketika ditemuramah oleh Astro Awani pada 13 Julai lalu, dengan tanpa berselindung dia mengatakan, “kalau benar kerajaan memerlukan peruntukan RM2 bilion setiap tahun untuk memberikan lantikan tetap kepada kakitangan kesihatan kontrakmaka, ini tak sampai pun 10 peratus daripada belanjawan keseluruhan Kementerian Kesihatan.

“KSU (Ketua Setiausaha Negara) perlu ambil langkah yang positif kerana kita memang sangat perlukan tenaga teknikal seperti doktor untuk membantu. Mereka tidak akan mampu bekerja dengan moral yang baik tanpa diberikan suasana perkhidmatan yang begitu baik.

“Mereka adalah doktor-doktor muda yang bertenaga dan punya kelayakan. Sekarang moral mereka berada di tahap rendah jika hanya berada dalam status kontrak. Ini perlu kita selesaikan,” katanya.

Jadi ini adalah persoalan keutamaan pihak kerajaan dalam memastikan perkhidmatan diberikan dengan berkesan dan berkualiti, terutama dalam suasana wabak Covid-19 yang telah melebihi sejuta kes.

Syed Mohamed Aljunid bukanlah tokoh yang calang-calang. Professor ekonomi kesihatan dan felo penyelidik kanan di United Nations University - International Institute for Global Health (UNU-IIGH) ini merupakan rakyat Malaysia yang pertama memperolehi ijazah PhD dalam bidang ekonomi dan pembiayaan kesihatan pada 1995.

Fokus penyelidikannya adalah mengenai dasar, ekonomi dan pembiayaan kesihatan bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di negara-negara membangun. Syed Mohamed Aljunid merupakan pelopor dalam pelaksanaan sistem casemix untuk kaedah bayaran kepada penyedia perkhidmatan di bawah program insuran kesihatan nasional.

Dia pernah dilantik sebagai pakar perunding dalam bidang dalam ekonomi dan pembiayaan kesihatan kepada agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Kesatuan Eropah, Bank Dunia, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Bank Pembangunan Asia.

Bukan setakat 'do no harm'

Sumpah Hipokratik bukan semata-mata kalimat “do no harm” yang ditujukan kepada para barisan hadapan yang sedang menuntut hak mereka melalui hartal.

Apatah lagi, ia disalah guna demi menafikan hak rakan-rakan sejawat yang kini semakin menipis moral dan semangat kerja, gara-gara berada dalam kasta terendah dalam sektor kesihatan.

Lebih daripada itu, sumpah Hipokratik menuntut seorang doktor untuk mempertahankan hak pesakit dan rakan-rakan sejawat daripada ketidakadilan.

Ini diperkukuhkan dengan Deklarasi Geneva yang sudah disemak sebanyak enam kali sejak diperkenalkan pada 1948. Terbaru, deklarasi ini menyatakan “saya akan berikan penghormatan dan penghargaan kepada guru, rakan sekerja dan pelajar seperti yang layak diterima mereka”.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melanjutkan tempoh kontrak kepada dua tahun lagi, dan empat tahun bagi mereka yang sudah diterima untuk pengajian sarjana.

Bagaimanapun, hartal doktor kontrak menyifatkan reaksi kerajaan ini bersifat janggal, memandangkan sekurang-kurangnya minimum empat tahun (bergantung kepada bidang pengkhususan) diperlukan untuk pegawai perubatan menyelesaikan program sarjana.

Ini belum termasuk tempoh menunggu bagi pegawai perubatan untuk digazet yang boleh mencapai enam hingga 18 bulan.

Maka, boleh dikatakan yang tempoh empat tahun sebagai tambahan untuk melanjutkan kepakaran adalah tidak munasabah

Maka, tidak ada pilihan lain. Apa yang diperlukan oleh doktor kontrak bahkan juga sektor kesihatan Malaysia dan rakyat yang menghadapi krisis tidak lain adalah penjawatan tetap kepada doktor, doktor gigi dan ahli farmasi kontrak.

Seperti kata Syed Mohamed Aljunid, hal ini berbalik kepada kerajaan dan pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan. Mana lebih penting, jimat 2 billion ringgit atau nyawa rakyat menjadi taruhan?


DR HAMDI IBRAHIM adalah penyelidik dalam bidang perubatan dan pembaca Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS